JOHANNESBURG: Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Afrika Selatan mengekalkan keputusan untuk tidak membenarkan bekas presiden negara itu, Jacob Zuma daripada bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Pengerusinya, Mosotho Moepya memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 82 bantahan mengenai pencalonan daripada 21 parti politik bagi pilihan raya kebangsaan dan wilayah negara berkenaan.
“Dalam kes Jacob Zuma, kita ada menerima bantahan yang kemudiannya telah disahkan. Kami putuskan secara sebulat suara. Ini bukan perkara yang kita uruskan secara bersifat peribadi.
“Ia adalah peruntukan undang-undang yang mana kita mesti menilai bantahan yang dikemukakan dan ia adalah mudah. Ia adalah sama ada orang itu layak atau tidak,” katanya, lapor ChinaDaily.
Zuma, 82, yang sebelum ini telah dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan kerana menghina pada 2021 telah dinamakan sebagai calon bagi pilihan raya akan datang mewakili parti yang baru ditubuhkan Disember tahun lalu, MK.
Beliau bagaimanapun telah dibebaskan awal atas faktor kesihatan, selepas hanya dua bulan di dalam tahanan yang dilaksanakan di dalam rumahnya.
Menurut perlembagaan negara itu, seseorang yang dijatuhkan hukuman penjara melebihi satu tahun tidak dibenarkan untuk memegang apa-apa jawatan di dalam perkhidmatan awam.
Afrika Selatan dijadualkan bakal mengadakan pilihan raya kebangsaan dan wilayah pada 29 Mei depan.
Penganalisis percaya pilihan raya kali ini merupakan titik perubahan bagi negara itu, menyaksikan parti pemerintah berkemungkinan hilang majoriti di parlimen buat kali pertama sejak tamat apartheid pada 1994. – HARAKAHDAILY 29/3/2024