Puasa dan pengampunan: Antara sederhana dan melampau

- Advertisement -

MUQADDIMAH

- Advertisement -

Ramadhan telah masuk ke fasa kedua, iaitu fasa pengampunan. Nabi SAW bersabda;

وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan ia (Ramadhan) permulaannya adalah rahmah, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pelepasan daripada api neraka”. (Riwayat Ibn Khuzaimah)

Di sana terdapat perbincangan yang panjang terhadap status hadis ini. Namun, penulisan ini lebih memberi fokus pada kaitan antara puasa dan pengampunan Allah SWT. 

Agama yang terawal sejak zaman Nabi Adam AS ialah Islam. Selepas daripada itu, wujudlah penyelewengan demi penyelewengan sehingga melahirkan ajaran yang tersesat. Contohnya ajaran Islam yang diajarkan oleh Nabi Musa AS, telah diseleweng oleh Samiri dan akhirnya melahirkan ajaran Yahudi.

Ajaran Islam yang diajarkan oleh Nabi Isa AS telah diselewengkan oleh Paulus. Ajaran Nabi Ibrahim AS yang bertapak di Mekah pernah diselewengkan oleh Amru bin Luhayy sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Kebanyakan ajaran-ajaran tersebut berunsurkan mistik, ketahyulan dan serba misteri. Justeru, apabila membicarakan tentang dosa pahala, syurga dan neraka, masing-masing mula menghuraikan secara menyimpang.

Ada ajaran yang berpegang dengan konsep reinkernasi (تناسخ الأرواح), dan dihujungnya adalah bersatu dengan tuhan. Ada yang gunakan istilah Nirvana, dan bermacam macam lagi yang akan dihuraikan selepas ini. Ia sebagai gambaran awal tentang kepercayaan mistik tersebut.

Fitrah manusia sukakan kebaikan 

Secara fitrahnya, manusia itu sememangnya dicipta sukakan kebaikan, dan bencikan keburukan. Sukakan kebahagiaan, dan bencikan penderitaan. Cuma, ajaran dan fahaman selain Islam, mereka itu mereka-reka dalam menilai antara kebaikan, keburukan, bahagia dan derita.

Dari sini, wujudnya kepercayaan terhadap balasan terhadap kebaikan atau keburukan yang dilakukan oleh seseorang manusia. Jiwa manusia tidak dapat menerima hakikat bahawa seseorang itu boleh melakukan kejahatan, dan kemudiannya boleh mati dengan ‘selesa’. Fitrah manusia itu berpegang bahawa kejahatan mesti dibalas. Begitu juga sebaliknya. Di sini, lahirlah dendam yang berpanjangan seperti yang digambarkan dalam Fasa Dark Ages.

Mereka yang ada kesedaran hakikat ini, akan segera melakukan sesuatu kebaikan untuk meng’cover’ kejahatan yang pernah dilakukannya, sebagai seorang yang sesal. Ada juga berjuang membalas dendam terhadap kezaliman ke atas seseorang. Dengan harapan, pembalasan dendam yang dilunaskan dapat membahagiakan roh orang yang dizalimi.

Membunuh diri dengan berpuasa ekstrem

Melalui ajaran Islam yang disampaikan oleh nabi-nabi terdahulu, manusia itu mengenal kebenaran dan kesesatan, pahala dan dosa. Namun, apabila manusia menyesat daripada ajaran para nabi, manusia mula mereka-reka kepercayaan mereka. Lahirlah kepercayaan-kepercayaan mistik sepertimana yang telah saya sebut di awal tadi.

Apabila seseorang telah melakukan kesalahan, dan menyesali atas kesalahan yang dilakukan, dia akan tercari cari bagaimanakah untuk bertaubat? Bagaimanakah untuk menebus dosa? Di sini lahirlah ritual-ritual ekstrim yang direka-reka untuk bertaubat daripada kesalahan lalu.

Ada ajaran-ajaran yang menggalakkan membunuh diri dengan melakukan hal-hal yang ekstrim. Antaranya berpuasa secara ekstrim. Menurut Ahmad Iqram bin Mohamad Noor, antara ajaran yang mengandungi praktis tersebut ialah;

1) Dalam ajaran Jainisme, antara kaedah penyucian jiwa, adalah dengan berpuasa sehingga mati. Ia diberi nama Sallekhana. Ia melibatkan ritual seperti pertapaan, bertelanjang dan sebagainya. 

2) Di dalam agama Hindu, ada istilah Prayopavesa, yang merupakan ritual yang berbentuk puasa hingga mati. 

3) Manakala dalam ajaran Budha ada praktis yang dinamakan Shokushinbutsu yang juga merupakan ritual mengakhiri kehidupan dengan berpuasa

Ritual-ritual ekstrim ini dianggap oleh mereka sebagai satupenyucian daripada dosa, pembersihan nafsu, dan sebagainya. Mereka yang berjaya melalui ritual ekstrim ini akan menganggap sebagai sebuah kejayaan abadi bagi dirinya.

Menyakitkan diri untuk bertaubat?

Selain daripada berpuasa, ada juga ritual ritual yang berbentuk menyakitkan diri, bertujuan untuk pengampunan dosa. Contohnya penganut ajaran Thaipusam, yang merayakannya sebagai kaedah pengampunan dosa. Sebelum perayaan ini, mereka dikehendaki berpuasa 48 hari dan ketika perayaan disambut, mereka akan mencucuk cucuk seluruh tubuh mereka dengan besi.

Dalam ajaran Kristian, Jesus sendiri disalib, berkonsepkan kepada pengampunan dosa, dengan tanggapan bahawa ingin menebus dosa-dosa seluruh manusia. Begitu juga paderi paderi yang mempunyai mandat untuk mengampunkan dosa. Mereka yang melakukan dosa, perlu bertaubat di hadapan paderi, menyatakan kekesalan mereka.

Dalam Islam, tidak ada istilah dosa itu diwarisi. FirmanNya;

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; (Surah Faatir 18)

Bahkan kita dilarang untuk sengaja menyakitkan atau menyeksa diri, apatah lagi membunuh diri. Islam mendidik umatnya dengan kesederhanaan, selari dengan nilai nilai kemanusiaan.

Nabi SAW bersabda;

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ 

Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan (Hadis Riwayat Malik)

Sebab itulah, sesuatu amalan itu diukur bukan semata-mata kepada keterlaluannya sesautu amalan, akan tetapi yang lebih utama ialah ketepatannya dengan ajaran Nabi Muhammad SAW. Sekalipun sesuatu amalan itu nampak teruk, seperti menyeksa diri atau yang lebih ekstrim daripada itu, ia tidak bermaksud amalan itu diterima Allah SWT.

Sebaliknya, amalan yang diterima ialah amalan yang betul ikut apa yang diajar oleh Baginda SAW, sekalipun ia lebih sederhana. Inilah yang membezakan Islam dengan ajaran-ajaran lain.

Amalan yang betul atau amalan yang banyak?

Antaranya kisah 3 orang sahabat RA yang berlebihan dalam beribadat, akhirnya ditegur oleh Baginda SAW.

أَنَّ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Daripada Anas bin Malik katanya, tiga orang telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. mereka bertanya tentang ibadat baginda. Apabila mereka diceritakan seolah-olah mereka merasakannya sedikit. Mereka berkata: “Di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Rasulullah s.a.w. sedangkan baginda telah diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang kemudian. salah seorang mereka berkata: “Saya akan sentiasa bersembahyang malam dan seorang lagi berkata: “Saya berpuasa sepanjang tahun, tidak akan berbuka(tidak ada hari yang tidak berpuasa) dan orang yang terakhir berkata: “Saya akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Tiba-tiba Rasulullah datang kepada mereka seraya bertanya: “Kamukah yang mengatakan begini, begini? Demi Allah, sesungguhnya aku lebih takutkan Allah daripada kamu, paling bertaqwa kepada-Nya daripada kamu namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang dan aku tidur dan aku mengahwini perempuan. Maka dengan itu, sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku. (Hadis Riwayat al Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW menekankan supaya amalan yang betul lebih diutamakan, berbanding kadar keterukan amalan itu. Sebab itulah, amalan para alim lebih utama berbanding para abid, kerana merujuk kepada ketepatan amalan tersebut yang lebih diutamakan.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA;

طلب الْعلم سَاعَة خير من قيام لَيْلَة ، وَطلب الْعلم يَوْمًا خير من صيام ثَلَاثَة أشهر

Menuntut ilmu satu jam lebih baik daripada berqiamullail. Menuntut ilmu sehari, lebih baik daripada berpuasa 3 bulan. (Riwayat ad-Dailami)

Pengampunan dosa dalam Islam

Pengampunan dosa diajar oleh Islam secara setepatnya. Tidak terlalu berlebihan sehingga perlu menyeksa atau membunuh diri. Tidak pula sampai terpaksa menebus dosa orang lain. Ustaz-ustaz tidak seperti paderi-paderi Kristian yang dianggap berautoriti mengampunkan dosa.

Bahkan, setiap orang terdedah pada kesilapan, dan perlu bertaubat, termasuklah para ustaz.  Allah SWT menyediakan kepada umat Islam panduan yang betul dan jelas untuk bertaubat. 

Allah SWT mewajibkan kepada kita untuk bertaubat:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah al-Nur 31)

Ibn Kathir menafsirkan ayat ini dengan menyatakan “Lakukanlah apa yang aku perintahkan kamu dengannya, dan semua sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji. Pada saat yang sama, tinggalkanlah perangai ahli jahiliyyah dan sifat buruk mereka. Ini kerana kejayaan dan kemenangan yang sebenar dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangan-Nya”

Kaedah taubat yang selari dengan nilai-nilai kemanusiaan inilah yang diajar oleh Allah SWT. Tidak sama dengan ajaran ajaran lain yang lebih mengutamakan ke’ekstrim’an sesuatu amalan sehingga menyakiti diri atau sampai tahap membunuh diri. Tidak juga taubat ke atas dosa orang lain sepertiman kepercayaan Kristian.

Islam bukan kerahiban

Islam bukanlah agama kerahiban. Kerahiban yang dimaksudkan ialah meninggalkan terus nilai-nilai kemanusiaan semata-mata untuk beribadah. Kerahiban yang dimaksudkan seperti memencilkan diri, pertapaan sehingga meninggalkan makan minum, tidak berkahwin dan sebagainya.

Sebaliknya, yang dianjurkan Islam ialah beribadah dengan neraca yang sesuai dengan fitrah manusia. Tidak berlebihan, dan tidak pula meringan-ringankan ibadat yang wajib. Allah SWT berfirman menceritakan perihal kerahiban yang terjadi di kalangan golongan terdahulu;

ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَىٰ آثَارِهِم بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الْإِنجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلَّا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا ۖ فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

Kemudian Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara) “Rahbaniyyah” – merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka. (Surah al Hadid 27)

Imam Ibn Kathir menafsirkan ayat ini dengan menukilkan sebuah riwayat;

أن سهل بن أبي أمامة حدثه أنه دخل هو وأبوه على أنس بن مالك بالمدينة زمان عمر بن عبد العزيز وهو أمير ، وهو يصلي صلاة خفيفة كأنها صلاة مسافر أو قريبا منها ، فلما سلم قال : يرحمك الله ، أرأيت هذه الصلاة المكتوبة ، أم شيء تنفلته ؟ قال : إنها المكتوبة ، وإنها صلاة رسول الله – صلى الله عليه وسلم – ما أخطأت إلا شيئا سهوت عنه ، إن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – كان يقول : لا تشددوا على أنفسكم فيشدد عليكم ، فإن قوما شددوا على أنفسهم فشدد عليهم ، فتلك بقاياهم في الصوامع والديارات ، رهبانية ابتدعوها ما كتبناها عليهم

Sahl bin Abu Umamah telah menceritakan kepada beliau bahawa beliau (Sahl) pernah masuk bersama ayahnya untuk bertemu Anas bin Malik di Madinah pada zaman ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz sewaktu beliau menjadi gabenor di Madinah. Saat itu Anas sedang melakukan solat yang sangat ringkas seakan-akan solat orang yang bermusafir atau hampri sama dengannya. Apabila Anas memberi salam, ayahku berkata: Semoga Allah merahmatimu! Menurut anda solat ini adalah yang fardu atau solat sunat? Anas menjawab: Ia solat fardu. Ia solat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, aku tidak melakukan kesilapan (dalam melakukan solat itu) kecuali sedikit sahaja yang aku terlupa. Anas berkata lagi: Sesungguhnya Rasulullah SAW selalu bersabda: Janganlah kamu memberatkan diri kamu hingga menyebabkan Allah memberatkan kamu, kerana sesungguhnya suatu kaum telah memberatkan terhadap diri mereka, lalu Allah memberatkan mereka. Itulah pewaris-pewaris mereka dalam biara-biara dan rumah-rumah (ibadah): 

Dan (perbuatan mereka beribadat secara) Rahbaniyyah merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka (Surah al-Hadid ayat 27). 

Kesimpulan

Islam adalah ajaran pertama, yang dibawa oleh Nabi Adam AS, datangnya daripada wahyu Allah SWT. Islam tidak sama dengan ajaran-ajaran yang telah terseleweng selepas daripada itu. Islam adalah agama yang selari dengan fitrah dan kemampuan manusia. 

Ketepatan sesuatu amalan lebih diutamakan berbanding ekstrim atau teruknya sesuatu amalan. Kerahiban yang ada dalam Kristian atau Yahudi, atau mana-mana ajaran, telah terseleweng daripada Islam. Islam tidak berpaksikan kepada kepercayaan mistik atau tahyul. Sebaliknya mendidik manusia hidup secara sebenar sebagai manusia.

Islam tidak mewajibkan sesuatu yang melampaui batas kemampuan manusia. Islam meraikan fitrah manusia. Contohnya apabila berpuasa, tidaklah sampai mati. Tidaklah berpuasa sehingga merosakkan anggota badan. Bahkan, bagi mereka yang berpuasa, dibenarkan berbuka jika bermusafir atau sakit.

Dalam bab pengampunan, Islam meletakkan cara yang betul. Tidak sama dengan ajaran-ajaran lain, yang sampai tahap menyeksa diri, membunuh diri, atau terpaksa menebus dosa orang lain. Islam mendidik manusia sebagai manusia, selari dengan tahap kemampuannya.

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai, kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.  (Surah al Baqarah 286)

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMED FADZIL – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -