Royalti: Kerajaan Perpaduan lebih teruk dari Kerajaan PH

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Terengganu sebelum Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 29 November 1999 sentiasa menerima bayaran Royalti Petroleum setiap tahun sejak 1978.

- Advertisement -

Ini selaras dengan pewartaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975 antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS. 

Mengenai perjanjian ini, pada 12 November 1975, Tun Abdul Razak Hussein menjelaskan di Dewan Rakyat, “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”

Walau bagaimanapun, apabila PAS diberikan mandat untuk mentadbir Kerajaan Negeri Terengganu dalam PRU10, dengan tidak semena-mena Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 26 Jun 2000 mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak lagi berhak untuk mendapat bayaran Royalti Petroleum.

Sebenarnya, pengumuman ini menyusul setelah sebelumnya UMNO Bahagian Dungun mengusulkan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2000 supaya royalti ini ditarik balik.

Pengumuman Tun Dr. Mahathir ini diikuti oleh pengumuman Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 bahawa bayaran Royalti Petroleum ini tidak lagi akan diberikan kepada Kerajaan Negeri Terengganu tetapi akan disalurkan terus kepada rakyat Terengganu melalui Program Pembiayaan Wang Ehsan (PPWE).

Justifikasi yang diberikan oleh Tun Dr. Mahathir mengenai sebab mengapa Kerajaan Negeri Terengganu tidak berhak ke atas bayaran Royalti Petroleum ini adalah petroleum yang diperoleh selama ini adalah dari kawasan 100km atau lebih dari kawasan perairan negeri sedangkan dakwa beliau kawasan perairan negeri meliputi kawasan yang terletak dalam lingkungan tiga batu nautika dari tanda air surut (low water mark) sahaja.

Namun begitu, pada tahun 2011, Tun Dr. Mahathir menerbitkan memoir beliau yang mencatatkan pengakuan beliau mengenai sebab sebenar mengapa Kerajaan Negeri Terengganu tidak berhak ke atas bayaran Royalti Petroleum ini, iaitu bagi menghalang Kerajaan Negeri Terengganu di bawah PAS daripada menggunakannya untuk meningkatkan populariti mereka.

Pengakuan ini berbunyi, “Terengganu adalah pengeluar minyak terbesar di Malaysia dan lima peratus daripada hasil itu, bernilai hampir RM1 bilion setahun, pergi kepada kerajaan negeri. Kita tahu bahawa jika kerajaan negeri baru PAS dapat wang ini, mereka akan menggunakannya untuk meningkatkan populariti mereka dan mempromosi perjuangan mereka. Satu cara mesti dicari untuk menyekat mereka dari mendapat akses kepada dana ini.”

Lanjutan pendedahan mengejutkan Tun Dr. Mahathir ini, Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai oleh DS Anwar Ibrahim serta dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP telah mengeluarkan satu dokumen iaitu Buku Jingga sebagai pelan induk pentadbiran jangka panjang dan rangka kerja yang komprehensif PR jika ia diberi mandat untuk memerintah negara.

Dalam Buku Jingga yang dilancarkan oleh DS Anwar ini, terdapat catatan jelas mengenai “Program 100 Hari Pakatan Rakyat” di mana salah satu itemnya adalah bertajuk “20% Royalti Minyak”. 

Item ini memuatkan janji PR bahawa jika ia menang dalam PRU13 maka ia akan “menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%”.

Lanjutan itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu, Azan Ismail, pada 16 September 2011 mengumumkan bahawa PKR Terengganu mahukan perjuangan menuntut royalti minyak sebanyak 20 peratus ini mengambil kira ‘bayaran tertunggak’ yang tidak diterima sejak 33 tahun lalu di mana jika tuntutan itu berjaya, bayaran tertunggak yang akan diperoleh Terengganu dianggarkan bernilai kira-kira RM500 bilion atau RM19 bilion setahun.

Apabila DS Najib Razak mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji pemberian royalti minyak, DS Anwar menegaskan pada 9 Ogos 2012 bahawa jawatankuasa khas ini tidak perlu, “sebaliknya Putrajaya perlu memberikan royalti secara tunai kepada negeri-negeri terlibat berdasarkan peruntukan dalam Akta Petroleum 1974.”

Jelas DS Anwar, berdasarkan akta berkenaan cukup jelas kerajaan tidak boleh menafikan hak rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak berhubung royalti minyak dan DS Najib Razak diharapkan untuk tidak berlengah dan berdalih, sebaliknya menyegerakan pemberian royalti tersebut. 

Tambah DS Anwar, “Pusat juga tidak berhak untuk campurtangan (dalam isu pemberian royalti minyak)… langkah PM campurtangan itu tak kena.” Kata beliau lagi, “Pendirian PR jelas, seperti mana apa yang tercatat dalam Buku Jingga, iaitu kita akan agihkan 20 peratus Royalti Petroleum kepada negeri-negeri berkenaan.”

Oleh itu, berdasarkan latar belakang janji-janji DS Anwar ini, apabila beliau menjadi Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 maka jangkaan umum ialah, jika beliau adalah seorang yang berpegang kepada prinsip beliau diyakini akan menunaikan janji untuk memberikan royalti secara tunai kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan pada kadar 20 peratus yang beliau umumkan atau setidak-tidaknya pada kadar lazim 5 peratus.

Malangnya, pada 24 Februari 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), DS Azalina Othman Said, menyatakan Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus kerana perjanjian pembayaran tunai dikatakan hanya untuk petroleum yang diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut. 

Tindakan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan DS Anwar ini jelas menunjukkan DS Anwar telah melupakan prinsip beliau.

Jika dulu beliau mengecam Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan DS Najib kerana menzalimi Kelantan dan Terengganu dalam isu pemberian Royalti Petroleum kini beliau sendiri membuat perkara yang sama. 

Lebih zalim lagi kerana beliau bukan sahaja berjanji akan membayarnya tetapi akan menaikkannya menjadi 20%.  

Tindakan ini jelas bercanggah dengan kandungan perjanjian Kerajaan Kelantan dan Terengganu dengan PETRONAS yang jelas menyatakan PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah 5 peratus daripada nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di negeri-negeri tersebut. 

Ia juga bercanggah dengan penjelasan Tun Abdul Razak bahawa ini wajib dibuat tanpa mengira sama ada petroleum yang dijumpai dan diperolehi itu berada dalam kawasan perairan atau di luar perairan.

Lebih malang lagi, tindakan Kerajaan Perpaduan ini juga bercanggah dengan keputusan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di bawah Kerajaan PH pada 7 Jun 2018 yang menyatakan bahawa, “Kerajaan PH akan memansuhkan program Wang Ehsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada Kerajaan Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang”. 

Perbalahan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan tidak akan berlaku jika DS Anwar dan Kerajaan Perpaduan berpegang kepada prinsip dan menunaikan janji. 

DS Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap mengenai hak Kerajaan Negeri Terengganu untuk menerima Royalti Petroleum atau Wang Ehsan berjumlah RM1.524 bilion setahun. Ia adalah hak negeri.

DS Anwar sebaliknya, sambil mengakui Kerajaan Persekutuan hanya melunaskan pemberian Wang Ehsan untuk Terengganu sebanyak RM786 juta tahun lalu, bercakap benda yang tidak berkait sama sekali, iaitu mengenai Kerajaan Persekutuan tidak menyekat peruntukan kepada Terengganu, cuma bayaran tersebut diberikan terus kepada rakyat dan bukan menerusi Ahli Parlimen.

Jadi, berdasarkan kepada jawapan DS Anwar dalam isu pemberian Royalti Petroleum atau Wang Ehsan ini, maka bolehlah dirumuskan bahawa Kerajaan Perpaduan ini jauh lebih teruk daripada Kerajaan PH walaupun Kerajaan Perpaduan disaluti slogan indah “MADANI”. 

MOHD EIKHWAN M ALI
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -