Konsep ziarah rapatkan ukhuwah wakil rakyat dengan rakyat

Mastura (empat dari kiri) ketika berkunjung ke rumah seorang penduduk di parlimen Kepala Batas, Kedah sempena program Semarak Kasih Ramadan.
- Advertisement -

KEPALA BATAS: Bulan puasa tidak menghalang kerja amal diteruskan terutama ziarah rumah ke rumah supaya wakil rakyat dapat melihat sendiri keadaan rakyat dengan mata sendiri.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Mastura Muhammad berkata, dengan cara begitu, adalah lebih mudah untuk melihat keperluan lain yang diperlukan rakyat apabila ziarah ke rumah sasaran dilakukan.

- Advertisement -

“Konsep ziarah rumah ke rumah juga secara tidak langsung dapat merapatkan jurang antara wakil rakyat dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Semarak Kasih Ramadan anjuran Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Nasional (LKKS), Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) semalam. 

Dalam program yang disertai Skuad Prihatin diketuai Pengerusi LKKS DMPM, Dr Uyun Malek itu, seramai 30 asnaf termasuk ibu tunggal dan pesakit terlantar di sekitar parlimen berkenaan telah diziarahi serta diberi sumbangan.

Selain barangan dapur keperluan harian, penerima turut menerima sumbangan ayam segar, buah-buahan dan lain-lain.

Dalam pada itu, Mastura mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penderma atas sokongan dan sumbangan yang diberikan terhadap program Semarak Kasih Ramadan kali ini melibatkan asnaf di tiga buah kampung iaitu Pematang Sintok, Kampung Padang dan Pematang Bertam. – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -