JAKARTA: Mahkamah Tertinggi Indonesia hari ini mendengar rayuan daripada dua calon presiden yang tewas pada pilihan raya 14 Februari lepas, yang menuntut agar undian semula diadakan kerana terdapat penyelewengan dan penipuan yang meluas sewaktu hari pengundian berlangsung.
Pilihan raya bulan lalu menyaksikan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto telah menang setelah memperoleh 58.6 peratus undian atau 96 juta undi, dua kali ganda lebih tinggi daripada undian yang diperoleh tempat kedua dalam pilihan raya tiga penjuru itu.
Calon yang tewas, bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo menyatakan bahawa pilihan raya itu telah dicemari dengan insiden penyelewengan sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian.
Mereka meminta Mahkamah Perlembagaan untuk membatalkan keputusan pilihan raya dan menuntut pengundian semula, dalam tuntutan undang-undang yang dilakukan berasingan, lapor Reuters.
“Kami menyaksikan dengan kebimbangan yang mendalam satu siri penyelewengan yang telah mencemarkan integriti demokrasi kita,” kata Anies.
Sementara itu, penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan secara aman berhampiran bangunan mahkamah, menyatakan bahawa mereka akan mengawasi perbicaraan yang dijalankan.
Pihak berkuasa dalam pada itu menyekat jalan-jalan yang menuju ke mahkamah di mana kira-kira 400 polis telah dikerahkan di dalam dan luar bangunan.
Anies dan Ganjar juga mendakwa Gibran yang menjadi calon wakil presiden patut dibatalkan pencalonannya atas faktor umur, dan meminta mahkamah agar tidak membenarkan beliau untuk melakukan undian semula.
Sebelum pilihan raya lalu, Mahkamah Perlembagaan telah membuat keputusan kontroversi dengan membuat pengecualian terhadap had umur yang dibenarkan untuk bertanding.
Ia sekaligus membolehkan Gibran untuk menjadi calon wakil presiden. Keputusan itu diputuskan oleh ketua hakim, Anwar Usman yang merupakan abang ipar kepada Joko Widodo.
“Mahkamah Perlembagaan dibuat untuk menjaga perlembagaan dan membendung penyalahgunaan, bukan untuk menghalalkan penipuan dan jenayah,” kata peguam yang mengetuai Ganjar Pranowo. – HARAKAHDAILY 28/3/2024