RAFAH: Serangan bom berterusan dan keadaan di medan perang di Rafah kekal teruk walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza ketika bulan Ramadan ini.
Kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel mengelilingi sebuah hospital di Khan Younis ketika Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan kemudahan lain ‘tidak berfungsi’ kerana operasi ketenteraan, lapor Al Jazeera.
Dalam pada itu, tentera Israel mendakwa ia telah membunuh pejuang Hamas, Komander Marwan Issa dalam serangan udara pada awal bulan ini.
Namun, ia segera dinafikan Hamas dengan berkata, Israel tidak mempunyai bukti dan menuduh dakwaan Zionis itu sebagai ‘perang psikologi’.
Sekurang-kurangnya 32,414 rakyat Palestin telah terbunuh dan 74,787 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023. – HARAKAHDAILY 27/3/2024