Amalan puasa dari perspektif pelbagai agama di Malaysia

Program Bicara Perpaduan yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia, berjudul Puasa: Perspektif Dari Pelbagai Agama pada malam tadi, 26 Mac 2024.
- Advertisement -

GOMBAK: Keindahan dan kesejahteraan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama di Malaysia menjadikan negara kita sebagai salah satu negara yang unik.

Keharmonian hidup dengan masyarakat yang berbeza pandangan dan kepercayaan agama tidak dapat dirasai di negara-negara lain.

Dalam program Bicara Perpaduan yang dianjurkan Dewan Pemuda PAS Malaysia pada malam tadi, berjudul Puasa: Perspektif Dari Pelbagai Agama telah dihadiri oleh Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Gombak, Ustaz Abu Ubaidah; aktivis sosial media, Tai Zee Kin; Ahli Majlis Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Ts. Dr Subash; dan paderi Mark Tan, menampilkan moderator, Suffi Kamari.  

- Advertisement -
Dewan Pemuda PAS berjaya menganjurkan program yang mengumpulkan wakil berbilang bangsa dan agama di Malaysia bagi membicarakan mengenai amalan berpuasa dari persepektif masingf-masing.

Berpuasa cara Buddha

Menurut Tai Zee Kin yang mempraktikkan ajaran Buddha menyatakan bahawa agamanya mempunyai banyak mazhab dan cara berpuasa yang tersendiri. Di Malaysia, mazhab yang paling banyak dipraktikkan adalah Theravada dan Mahayana.

Tambahnya, kesemua ajaran di dalam agama Buddha adalah berkonsepkan kepada ‘Majjhima Patipada’ atau dalam bahasa arab disebut sebagai ‘wasatiyyah’. Cara berpuasa juga berbeza mengikut mazhab-mazhab, intensiti dan tujuan juga berbeza.

Antara cara berpuasa yang paling banyak diamalkan di Malaysia adalah mereka tidak dibenarkan makan dari pukul 12 tengahari sehingga terbitnya matahari keesokan harinya.

Berpuasa cara Hindu

Bagi ajaran agama Hindu pula, Dr Subash menjelaskan bahawa banyak budaya, cara penyembahan dan juga kaedah berpuasa di dalam agamanya. 

Kaedah pertama adalah dengan cara meminum segelas susu pada pukul 7 pagi, dan berpuasa sehingga jam  7 malam. Kaedah ini merupakan yang paling ‘keras’ di dalam agama Hindu.

“Ajaran ini lebih kepada menyakitkan diri supaya niat dan hajat kita diterima oleh tuhan atau disebut sebagai ‘asceticism’. 

Kaedah yang kedua adalah dengan cara makan vegetarian, di mana mereka boleh makan dan minum, tetapi hanya dari sumber tumbuh-tumbuhan. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling banyak diamalkan oleh penganut Hindu di Malaysia.

Kaedah yang ketiga adalah sama seperti vegetarian, tetapi mereka tidak boleh makan bawang merah, bawang putih, susu atau telur. Maknanya, mereka hanya makan hasil dari tumbuh-tumbuhan seperti kekacang.

Berpuasa cara Islam

Menurut Ustaz Abu Ubaidah, tujuan berpuasa di dalam Islam adalah untuk mencapai ketakwaan, kerana antara ciri-ciri puasa adalah ia merupakan ibadat yang manusia tidak nampak. 

“Kalau sembahyang, orang nampak kita bersembahyang. Kalau haji pun sama, orang nampak. Zakat pun sama. Tetapi puasa orang tak nampak. Ia melibatkan antara kita dan Tuhan”

“Tujuan berpuasa dalam Islam adalah untuk membentuk ketakwaan, iaitu merasakan hidup ini bertuhan. Apa maknanya? Maknanya kita memahami dari mana kita datang, untuk apa kita di sini dan ke mana kita pergi selepas di sini (dunia)?”, katanya.

Tambahnya, kesucian Ramadan adalah al-Quran diturunkan pada bulan ini (Ramadan). 

“Sebab itu di dalam bulan Ramadan, kita lakukan solat sunat tarawih di mana imam akan membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Jadi itu merupakan tujuan keseluruhan berpuasa di dalam Islam,” ujarnya. 

Berpuasa cara Kristian

Dalam agama Kristian pula, terdapat beberapa jenis puasa yang diamalkan. Pertama adalah dengan mengelakkan diri daripada makan, namun tiada waktu spesifik bilakah mula dan tamatnya waktu puasa tersebut.

“Mungkin kita tak makan sehari atau tiga hari, dan ada juga yang tidak makan untuk tempoh empat hingga lima hari ketika berpuasa. Ia ada fleksibiliti”, ujar paderi Mark Tan. 

Kaedah kedua, tambah beliau adalah berpuasa dengan cara vegetarian, manakala kaedah ketiga adalah dengan cara tidak makan atau minum sesuatu yang digemari seperti alkohol dan sebagainya. 

“Contohnya seperti kawan saya yang menggemari Coca-Cola dan air berkarbonat. Satu hari dia minum sehingga tiga tin.Jadi ketika berpuasa, dia akan mengelakkan daripada minum air berkenaan”

“Oleh sebab itu, dia merasakan dirinya lebih dekat dengan tuhan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -