PAS Selangor komited untuk rakyat: Tidak eksklusif, statik

Abdul Halim dalam Majlis Ramah Mesra PAS Selangor Bersama Media di Selangor pada malam ini, 26 Mac 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

PETALING JAYA: Pembangkang yang konstruktif adalah bukti yang menunjukkan PAS bersama-sama Perikatan Nasional (PN) begitu komited berkhidmat untuk rakyat di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri berkata, melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Selangor telah menyalurkan idea-idea solusi kepada permasalahan pembangunan dan pentadbiran negeri yang praktikal.

“Sebahagian daripada idea tersebut terbukti telah diterima oleh pihak kerajaan negeri Selangor pada hari ini. 

“Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS) mempunyai mesej yang jelas  bersama-sama BERSATU dan GERAKAN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 (PRU16) akan datang, iaitu mentadbir Kerajaan Negeri Selangor melalui Perikatan Nasional Negeri Selangor,” katanya.

Menurut beliau, PN Selangor mempunyai barisan ADUN yang sangat kompeten untuk mentadbir Kerajaan Negeri di samping disokong para profesional serta ahli akademik daripada pelbagai bidang pakar rujuk yang bersedia untuk menggembleng tenaga memakmurkan ekonomi Selangor ke arah negeri yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing, bersih daripada pemimpin yang korup, sumber yang berkesan, dan meningkatkan infrastruktur yang berkualiti.

- Advertisement -

“Juga untuk amalan tadbir yang cekap seperti teknologi kecerdasan pintar (AI), Internet of Things (IoT), dan robotik dalam pentadbiran dan pembangunan negeri serta mengembalikan polisi-polisi Kerajaan Negeri yang memberi kebaikan kepada kebajikan rakyat Selangor.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS Selangor ingin menegaskan bahaewa meskipun dasar PAS adalah Islam, namun PAS bukanlah parti yang eksklusif dan statik seperti yang digambarkan oleh beberapa pihak dengan naratif jahat Islamofobia.

“Hakikatnya, Islam sangat menekankan soal keadilan untuk semua kaum dan agama, malah Rasulullah sebagai teladan umat Islam di seluruh dunia mengharamkan umat Baginda SAW untuk menzalimi kaum dan pengikut dari agama lain.

“Bahkan dalam  al-Quran Surah al-An’am ayat 108 juga jelas bahawa Allah SWT melarang umat Islam di seluruh dunia mencela tuhan agama-agama lain di atas muka bumi ini,” ujarnya.

Tambah beliau, mesej PAS di Selangor jelas yang iaitu memanfaatkan diversiti serta kepelbagaian latar belakang rakyat Selangor  yang mempunyai pelbagai kemahiran aras tinggi demi memajukan negeri, industri dan ekonomi negeri ini.

“Peranan semua kaum dalam negara ini adalah sangat penting dan tiada siapa yang akan terkecuali dalam misi PAS Selangor pada kali ini.

Barisan kepimpinan PAS Selangor yang hadir dalam Majlis Ramah Mesra PAS Selangor Bersama Media di Selangor 2024.

“PAS Selangor komited untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada semua kaum dan agama dalam menghadapi masalah ekonomi khususnya peningkatan kos sara hidup yang tinggi, pengangguran dan pelbagai isu yang membelenggu rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika di Majlis Ramah Mesra PAS Selangor Bersama Media yang di Tabung Haji Hotel & Residence Kelana Jaya, malam tadi

Turut hadir ialah ADUN Sungai Burong Mohd Zamri Mohd. Zainuldin; Setiausaha Perhubungan PAS Selangor Zaidy Abdul Talib; Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor Zurk Ahmad; dan Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Muslimat PAS, Wan Hasrina Wan Hassan.

Jaminan kebebasan media

Sehubungan itu, Abdul Halim menyatakan bahawa media memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik rakyat  seperti akses maklumat yang tepat dan pendidikan politik yang menyeluruh.

“Media adalah pihak pendesak yang keempat dalam masyarakat selain kerajaan, pembangkang, non-partisan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokok pemimpin masyarakat yang memainkan peranan signifikan dalam mendidik rakyat dengan akses maklumat yang tepat, pendidikan politik yang menyeluruh, dan meningkatkan partisipasi rakyat dalam sistem demokrasi di negara kita.

“Kami memberi jaminan bahawa sekiranya PAS dan PN mentadbir Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan, kebebasan media akan terpelihara di samping tanggungjawab-tanggungjawab serta komitmen kami dalam mengangkat prestij arus perdana dan sekalian pempengaruh (influencer) dalam negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menyatakan, bagi memastikan sesuatu maklumat itu sahih dan benar, rakyat Malaysia akan kembali kepada platform rasmi media arus perdana dan PAS sangat berterima kasih kepada media dan khidmat pihak media kepada negara dalam hal ini.

“Kami berharap agar para pengamal media yang ada pada hari ini dapat membantu PAS menyampaikan maklumat  yang tepat dengan membersihkan imej PAS daripada imej parti lebai atau kampung, parti yang jumud, dan lain-lain fitnah yang telah dilontarkan oleh sesetengah pihak.

“Insya-Allah, PAS dan PN di Selangor akan lebih transparent, dan mudah diakses oleh mana-mana pengamal media di luar sana dan kami bersedia untuk menjadi tetamu kepada  

mana-mana agensi untuk memberikan pencerahan kepada rakyat dalam usaha-usaha ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -