Insiden bom Petrol di Perak: Jangan dahului siasatan polis

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang  membaling bom petrol di cawangan KK Mart di Bidor, Perak awal pagi semalam merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima akal dan wajar dikecam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak ada sebarang ruang untuk dibiarkan perbuatan seperti ini menjadi norma dalam masyarakat atas apa jua alasan sekalipun.  

- Advertisement -

“Undang-undang dan keadilan tidak boleh terlaksana melalui tangan sendiri secara individu kerana kita mempunyai kerajaan dan pihak penguatkuasa undang-undang yang diberikan hak di dalam perlembagaan. 

“Saya rakamkan takziah dan simpati kepada pihak yang menjadi mangsa dalam insiden balingan bom petrol ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam masa yang sama, menuding jari kepada mana-mana pihak juga merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. 

“Kita sudah melihat bagaimana dalam insiden khianat yang melibatkan rumah Ahli Parlimen Beruas pada tahun lepas, yang mana pada awalnya terdapat usaha untuk mengaitkannya dengan isu politik sebagai punca, namun akhirnya siasatan pihak polis menunjukkan sebaliknya,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun masih tiada sebarang pendakwaan dalam kes ini, ternyata ada pihak yang sudah dicalarkan imejnya hasil daripada perbuatan mengeluarkan kenyataan awal mendahului pihak berkuasa.

“Dalam isu bom petrol di Bidor, Perak ini masih terlalu awal untuk mengaitkannya dengan mana-mana insiden terdahulu. 

“Jangan ada pihak yang menjadi mangsa persepsi sebelum siasatan menyeluruh dilakukan oleh pihak polis,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -