Agih peruntukan secara adil seperti titah Agong

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan memberi wang ihsan dengan jumlah lebih banyak berbanding tahun lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembayaran wang ihsan tahun ini diharap dapat dibuat pada April ini.

 “Tahun lalu, Kelantan mendapat wang ihsan sebanyak RM218 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan pada April dan hujung Disember. Tahun ini belum dapat lagi. Kalau ikut tahun lalu dapat April dan akhir Disember.

“Kita harap kerajaan Pusat dapat bayar lebih banyak lagi tahun ini sempena berkat Ramadan dan jumlah bayaran terpulang pada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) dan Media di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Kamaruddin Md Nor; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah serta Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud.

Mohd Nassuruddin juga berharap kerajaan dapat mengagihkan peruntukan secara saksama seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan harapan agar peruntukan dibahagikan secara adil kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.

“Kita harap dengan peruntukan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -