Pemberian kepada negeri tanggungjawab Pusat

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu langsung tidak menafikan lebih kurang 13 jenis pemberian Persekutuan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Ini, ujarnya seperti yang diulas oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, Khamis lalu.

“Semua pemberian ini bukan ehsan atau murah hati PM. Tapi ia termaktub dalam peraturan semasa negeri-negeri menyertai Persekutuan Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, Pusat mengambil segala cukai dan hasil mahsul dari negeri lalu sebagai imbalan perjanjian menetapkan ada bayaran-bayaran pemberian yang perlu disalurkan kepada negeri.

“Malah kita mencadangkan supaya kadar bagi pemberian tertentu disemak semula sesuai dengan pertambahan cukai yang dikutip daripada rakyat Terengganu,” ujarnya lagi.

Tambahnya, PM mengulasnya seolah-olah pemberian-pemberian itu adalah kebaikan Kerajaan Madani kepada Terengganu.

Padahal, ujarnya pemberian-pemberian itu sememangnya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang ditetapkan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa termasuklah kaedah pengiraannya.

Justeru, katanya sekalipun ada peningkatan kepada RM413.6 juta pada 2023 berbanding 2022 sebanyak RM399.1 juta bukanlah sebab kebaikan itu, tetapi kerana pengiraan ini.

Ini, ujar beliau bermakna hasil dari Terengganu yang dikutip Kerajaan Pusat sudah semakin bertambah. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -