‘Kabel’ antara faktor program bola sepak NFDP merosot

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Unsur penggunaan ‘kabel’ oleh ibu bapa dalam mempengaruhi pemilihan pemain dalam pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) dipercayai punca kemerosotan prestasi pasukan tersebut akhir-akhir ini.

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Macang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, perkara tersebut didedahkan sendiri oleh ibu bapa yang terlibat dalam program tersebut.

“Baru-baru ini kita lihat dalam Sanix Cup yang berlangsung di Jepun, pasukan bawah 17 Akademi Moktar Dahari (AMD) kita menyaksikan pencapaian yang agak mengecewakan.

“Kalah 10-0 dalam Osaka Friendly Match dan kemudiannya kalah penalti dalam beberapa siri perlawanan yang lain,” ujarnya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen, di sini, semalam.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hasan.

Katanya, ramai pemain berpotensi yang berlatih selama beberapa tahun di peringkat sekolah akhirnya tidak diberi peluang sepertimana satu contoh kes yang berlaku di sebuah pusat latihan daerah.

“Saya difahamkan oleh ibu bapa ini, jurulatih-jurulatih di sana ada sebahagiannya mengutip wang secara paksa dalam rela.

“Kenapa? Ini berkait rapat dengan isu prestasi tadi AMD kalah teruk di Jepun tu, kerana seperti mana beberapa foto yang dakwa ada ‘kabel’, unsur-unsur ‘kabel’ ni,” ujarnya.

Jelas beliau, perkara itu berlaku kerana ada ibu bapa yang mahu anak mereka terpilih menggunakan faktor sumbangam mereka kepada NFDP untuk mempengaruhi pemilihan.

Katanya, apa yang berlaku itu akhirnya melahirkan pemain-pemain yang dipilih bukan atas dasar merit, tetapi atas dasar ibu bapa mana menyumbang lebih pada program NFDP.

Justeru itu, menurut beliau sudah tiba masanya Kementerian Belia dan Sukan memberi perhatian agar program NFDP dirombak berdasarkan rungutan yang diterima daripada akar umbi dalam kalangan ibu bapa. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -