Apa sudah jadi pada KDN?

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengambil pendekatan tidak boleh menerima justifikasi kepada keputusan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menarik semula cadangan pindaan terhadap pemberian kewarganegaraan kepada bayi terdampar. 

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, alasan yang diberikan Menteri Dalam Negeri kepada pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat semalam tidak boleh diterima sebagai justifikasi kepada keputusan kerajaan berpatah balik dalam isu  berkenaan. 

- Advertisement -

“Kerajaan tidak perlu tunduk kepada tekanan sesetengah pihak yang menganggap pindaan ini sebagai zalim sedangkan taklimat telah diberikan bagi menjelaskan keperluan sebenar peruntukan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Semalam, KDN  mengumumkan menarik semula  cadangan pindaan terhadap pemberian kewarganegaraan kepada bayi terdampar. 

“Terdahulu, apa yang diamalkan mengikut undang-undang sekarang ini, bayi terdampar yang dijumpai layak menjadi warganegara secara automatik, syaratnya, bayi berkenaan telah disahkan lahir di suatu tempat dan ibunya bermastautin di suatu tempat.

“Sebelum ini, kerajaan telah mencadangkan satu pindaan memperuntukkan agar kewarganegaraan kepada bayi terdampar mesti dibuat melalui pendaftaran. 

“Taklimat kepada cadangan ini juga telah diberikan kepada ahli-ahli parlimen oleh Menteri Dalam Negeri,” jelas Zurk.

Menurutnya, proses pendaftaran akan dibuat dengan teliti melibatkan dokumen sokongan seperti sijil lahir, sijil anak angkat, laporan polis, laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan keratan laporan akhbar sekiranya ada.

“Namun, kerajaan secara tiba-tiba telah menggugurkan cadangan ini daripada dimasukkan ke dalam RUU Perlembagaan (Pindaan) iaitu Perkara 15A2,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -