‘Nak tanya kenapa hari ini berhenti jam 1’

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan keputusan Timbalan Speaker, Dato’ Ramli Mohd Nor untuk menghentikan Dewan Rakyat pada jam 1.00 tengah hari.

- Advertisement -

Beliau berkata, tindakan tersebut tidak pernah dilakukan sepanjang Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas yang bermula 26 Februari lalu dengan Titah Diraja di Istiadat Pembukaan Penggal.

“Sikit sahaja nak tanya kenapa hari ini berhenti jam 1.00 (tengah hari), sedangkan urusan kerajaan hari ini hari terakhir, ada urusan kerajaan yang belum selesai, pindaan perlembagaan pun ada.

“Apa rahsianya,” katanya ketika bangun selepas pengumuman Ahli Parlimen Cameron Highland itu mengumumkan hasratnya untuk menangguhkan dewan dan bersambung semula pada jam 2.30 petang.

Ramli menjelaskan pihaknya terpaksa berbuat demikian kerana mematuhi peraturan dewan dihentikan pada jam satu jika tiada usul dibentangkan.

“Saya di sini hanya melaksanakan tugas sebagaimana ditetapkan oleh peraturan mesyuarat, jadi sebelum saya ketuk benda ini, bila tiada usul, kita tetap semula kepada peraturan.

“Peraturan menyatakan pukul 1.00 berhenti, jadi sekian…,” katanya.

Hari ini juga dijadualkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita tempatan dengan lelaki asing.

Ia akan dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail setelah membentangkan cadangan tersebut bagi mendapat kelulusan mesyuarat Kabinet baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -