PAS adakan kunjungan takziah di Kedutaan Rusia

Tuan Ibrahim (dua dari kanan), Idris (dua dari kiri), Muhammad Khalil (kanan) bersama-sama Latypov (tengah) di pejabat Kedutaan Rusia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada hari ini, 26 Mac 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengadakan kunjungan ke Kedutaan Rusia untuk menyatakan dukacita dan mengucapkan takziah susulan tragedi serangan pengganas di sebuah dewan konsert di Moscow pada lewat Jumaat (23 Mac) lalu.

Kunjungan takziah ini telah disambut oleh Duta Rusia di Malaysia, Naiyl Latypov yang menyampaikan berita terkini tentang insiden tersebut. 

- Advertisement -

Tuan Ibrahim berkata, dalam kejadian itu kira-kira 170 orang meninggal dunia dan lebih daripada 100 orang yang lain cedera, serta dijangka bilangan yang terkorban akan bertambah.

“Kami juga menyatakan penentangan dan merasa dukacita atas apa yang beraku. Kami menentang secara sekeras-kerasnya sebarang elemen keganasan di mana-mana sahaja,”  katanya kepada HarakahDaily ketika ditemui di Kedutaan Rusia, Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi Lajnah Perhubungan Antarabangsa PAS, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS menegaskan pendirian menolak sebarang elemen keganasan kepada mana-mana pihak dan kumpulan kerana ia tidak langsung mencerminkan keharmonian mana-mana negara, dan perlu ditentang oleh semua pihak.

“Kita tegaskan tentang hasrat dan pendirian kita kepada Duta Rusia bagi menyatakan dukacita kita atas tragedi malang yang berlaku di Moscow baru-baru ini.

“Apa-apa pun, kita harapkan kunjungan ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan hubungan kita dengan duta-duta asing di Malaysia menjadi semakin rapat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -