PADU gagal, Ekonomi Madani bakal sengsarakan rakyat?

Persoalan tentang ciri keselamatannya antara faktor yang dikatakan menyebabkan majoriti rakyat belum berdaftar dengan PADU.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkara yang menjadi masalah paling besar tentang Pangkalan Data Utama (PADU) adalah ia dilancarkan dalam keadaan tergesa-gesa dan seolah-olah tiada persediaan rapi dengan semua pihak berkaitan.

Profesional Istiqamah berkata demikian dalam kenyataan terkini, sambil menekankan bahawa pelaksanaan PADU juga tidak dibahaskan terlebih dahulu dalam parlimen, selain tempoh pengisian yang begitu singkat, dan banyak perincian tidak jelas seperti agensi mana yang akan menjadi pengurus utama sistem itu. 

- Advertisement -

“Paling membimbangkan, ciri keselamatan PADU juga amat diragui.

“Justeru, kenyataan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membentangkan berkenaan isu Pangkalan Data Utama (PADU) kepada Jemaah Menteri di Dewan Rakyat pada minggu ini sangat merisaukan,” ujar kenyataan Profesional Istiqamah.

Tambah kenyataan itu, langkah tersebut melambangkan komunikasi dan penyusunan strategik yang sangat lemah dan kritikal di pihak Kerajaan Madani dalam menguruskan projek berskala besar seperti PADU.

Terdahulu, Anwar dalam kenyataan medianya pada 23 Mac 2024 berkata, Rafizi telah diminta memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri pada minggu depan (minggu ini) berhubung isu PADU. 

Perkara itu diumumkan Anwar susulan kebimbangan dibangkitkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai PADU yang menurutnya, beliau telah berbincang dengan Abang Johari pada 22 Mac, yang mana Premier Sarawak itu telah menyuara dan membangkitkan beberapa kebimbangan beberapa persoalan mengenai sistem tersebut.

Ekonomi Madani mesra IMF

Sehubungan itu, Profesional Istiqamah berkata, apa yang berlaku kebelakangan ini juga membuktikan dasar Ekonomi Madani yang mesra (Tabung Kewangan Antarabangsa) IMF sepertimana dibawa oleh Anwar  dan Rafizi, sedang membawa negara berisiko mendapat tekanan ekonomi yang lebih hebat. 

“IMF ialah sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan untuk pelbagai tujuan antaranya pinjaman kewangan kepada negara-negara ahli serta bimbingan dan sokongan teknikal kepada negara-negara terlibat,” ujar kenyataan itu.

Menurut Profesional Istiqamah lagi, antara tindakan termahsyur IMF ialah  pinjaman kewangan yang didatangkan dengan syarat yang begitu ketat kepada negara peminjam, termasuklah negara peminjam perlu melaksanakan dasar penjimatan seperti pemotongan subsidi, menaikkan kadar faedah pinjaman dan penambahan cukai.

“Kenapa dasar IMF tidak semestinya bagus untuk sesebuah negara lebih-lebih lagi negara yang sedang membangun? 

“Hal ini demikian kerana sejarah menunjukkan pendekatan ekonomi yang disarankan IMF boleh menjadi satu masalah kepada sesebuah negara. Antaranya jika sesebuah negara gagal membayar semula hutang dipinjam dari IMF,” hujah Profesional Istiqamah.

Tambah kenyataan itu, Dasar Ekonomi Madani yang mesra IMF ini semakin jelas pasca debat Rafizi melawan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkenaan dasar ekonomi baharu Malaysia pada 9 Ogos 2023.

“(Pada 10 Ogos 2023)Dasar ekonomi yang dibawakan oleh Rafizi juga telah ditegur oleh dua orang pakar ekonomi, Dr Madeline Berma dan Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai sebagai satu dasar yang tidak baharu. 

“Dalam  program Dialog Kuasa Nasional: Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional, Barjoyai  pada 19 Ogos 2023 sekali lagi mengulangi pendirian beliau berkenaan dasar ekonomi Madani yang dicedok dari IMF,” ujar kenyataan itu.

Kategorikan rakyat 

Tambah Profesional Istiqamah, jika dilihat dengan teliti, hampir kesemua pelaksanaan polisi di bawah Ekonomi Madani akan bergantung sekitar sistem PADU yang akan mengkategorikan rakyat mengikut demografi ekonomi baharu. 

“Rasionalisasi subsidi iaitu pengagihan sebahagian kekayaan dan hasil negara kepada mereka yang memerlukan akan dilaksanakan menerusi PADU.

“Oleh sebab itu, kita dapat lihat kerajaan Madani dengan agresif telah bertindak memperkenalkan beberapa cukai baharu seperti Cukai Barangan Bernilai Rendah, Cukai Barangan Bernilai Tinggi, Cukai Servis Digital, menaikkan kadar (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) SST kepada 8 peratus dan memperluaskan skop SST. 

“Sementara, subsidi untuk makanan seperti subsidi tepung akan dibatalkan. Terbaharu, subsidi untuk diesel dan petrol akan ditarik sebagai satu langkah penjimatan kerajaan,” jelas Profesional Istiqamah.

Usaha-usaha kerajaan ini, ujar kenyataan Profesional Istiqamah lagi, telah meningkatkan tekanan kepada kos sara hidup rakyat serta menaikkan lagi kadar inflasi. 

“Maka, PADU diusulkan sebagai mekanisme untuk menampung segala bebanan yang dihadapi rakyat hasil pelaksanaan polisi-polisi baharu Ekonomi Madani,” ujar Profesional Istiqamah.

Namun tegas Profesional Istiqamah lagi, impak apabila dilancarkan dalam keadaan tergesa-gesa dan seolah-olah tiada persediaan rapi, sementelah ia uga tidak dibahaskan terlebih dahulu dalam parlimen, tempoh pengisian yang begitu singkat, banyak perincian tidak jelas seperti agensi mana yang akan menjadi pengurus utamanya, malah ciri keselamatannya juga amat diragui, adalah hanya kira-kira tujuh juta yang telah mendaftar dengan PADU – berbanding  21 juta keseluruhan  rakyat berumur 18 tahun keatas yang direkodkan dalam sistem kerajaan. 

“Paling memberi tamparan besar kepada kerajaan Madani adalah menerusi keputusan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah yang telah menzahirkan rasa tidak percaya kepada PADU.

“Ada rakyat yang sudah faham dan maklum bahawa PADU adalah teras dan harapan untuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi,” jelas kenyataan itu.

Profesional Istiqamah berkata, sehingga saat ini, kerajaan tidak berupaya memaklumkan apa mekanisme rasionalisasi subsidi yang akan dilaksanakan. 

“Apakah pemberian wang tunai seperti zaman Perdana Menteri keenam  (Dato’ Sri Najib Razak) akan dilaksanakan lagi atau mungkin kaedah baharu seperti menggunakan sistem kad identiti mengikut kelas ekonomi rakyat? 

“Semua ini masih tidak diputuskan walhal janji mengumumkan mekanisme subsidi bersasar ini sering kali diutarakan,” ujarnya.

Kerajaan tak boleh salahkan rakyat

Kerajaan Madani juga menurut Profesional Istiqamah, tidak boleh menyalahkan rakyat kerana tidak mendaftar dengan PADU. 

“Hal ini demikian kerana, rakyat tidak yakin dengan sistem ini disebabkan oleh kelemahan kerajaan sendiri dalam membuat perancangan dan penerangan. 

Jika PADU gagal, maka rasionalisasi subsidi juga akan gagal.

ika rasionalisasi subsidi gagal, maka segala usaha kerajaan memperkenalkan cukai yang pelbagai, menghilangkan segala subsidi terhadap makanan asas dan minyak petrol akan kekal dalam ekonomi negara tanpa ada penampan. 

“Hal ini pasti melipatkaligandakan kesengsaraan rakyat,” tegas Profesional Istiqamah.

Menurut kenyataan Profesional Istiqamah itu lagi, dengan nilai Ringgit Malaysia  yang berterusan merudum kerana pelaburan Malaysia yang begitu lemah serta permintaan ringgit yang tidak begitu positif, ditambah pula dengan kenaikan kos harga barang disebabkan cukai, potongan subsidi dan kemungkinan besar kegagalan rasionalisasi subsidi, maka bolehlah disimpulkan dasar bahawa Ekonomi Madani akan membawa rakyat menuju mala petaka.

“Tiba masanya Menteri Ekonomi (Rafizi) dan Menteri Kewangan (Anwar) meletakkan jawatan dan mengambil rasa tanggungjawab atas situasi yang melanda negara sekarang. 

“Serahkan urusan ini kepada mereka yang kompeten dan arif berkenaan apa yang mereka laksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -