Gerakan Melayu-Islam sokong bisnes Melayu-Islam

Asmawar Samat
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perlu ada gerakan kesedaran bangsa Melayu-Islam untuk menyokong bisnes dengan membeli dan menyokong pasar raya dan kedai-kedai milik orang Melayu-Islam itu sendiri.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Asmawar Samat berkata, itu adalah hasil keputusan sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) yang diadakan pada 23 Mac yang lalu.

- Advertisement -

“Langkah ini penting kerana dapat membantu meningkatkan kegiatan ekonomi umat Melayu-Islam terutamanya dalam kalangan pengusaha produk yang dihasilkan oleh bangsa kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau yang juga merangkap jawatan Pengerusi Biro Pertanian Membasmi Kemiskinan Aduan Awam, produk yang dijual sudah terjamin halal memandangkan peniaga-peniaga dan pemilik kedai bangsa Melayu-Islam tidak akan mengambil barangan yang tidak halal untuk dijual dalam kedai mereka.

Tambah beliau, masa depan politik orang Melayu adalah bergantung kepada kekuatan ekonomi memandangkan golongan minoriti yang pada masa ini sedang mengawal ekonomi negara ini.

“Hakikatnya golongan minoriti dapat mula meguasai kuasa politik kerana mereka perlahan-lahan telah mengawal kekuatan ekonomi negara ini dengan amat banyak sekali.

“Tambahan pula, kuasa politik tanpa kekuatan ekonomi akhirnya seperti tin kosong yang membawa ke arah menang sorak kampung tergadai dan sekarang sudah jadi kenyataan pun mengenai perkara ini.

“Pemimpin Melayu Islam pula leka dan asyik mengejar kepentingan diri sehingga rasuah telah menjadi budaya hidup,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap bangsa Melayu-Islam supaya bersama-sama meningkatkan azam dan solidariti dalam isu ini dengan membeli produk-produk yang dijual di premis perniagaan milik orang-orang Melayu Islam itu sendiri.

Kata beliau, masih terdapat masalah mengenai keraguan ke atas bahan makanan untuk ternakan ayam yang belum ada tanda halal dan ini menyukarkan umat Islam untuk membezakan bekalan ayam yang keluar daripada ladang Islam atau sebaliknya.

“Kami bimbang bahan makanan ayam itu sendiri mengandungi bahan tidak halal seperti kandungan darah, tulang dan lemak daripada babi.

“Maka, parti PUTRA menggesa agar pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan lain-lain jabatan berkaitan melakukan siasatan, kajian dan membuat pengumuman rasmi secara terbuka bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan masing-masing serta selamat dari aspek haram halal.

“PUTRA juga menyeru umat Islam janganlah hangat-hangat tahi ayam mengenai isu ini yang mana bila timbul sesuatu isu mereka ibarat ‘bunyi guruh di langit tapi hari tak hujan’,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -