Ketua Hamas kunjungi Iran hari ini

Ismail Haniyeh. (FOTO: Asharq Al- Awsat)
- Advertisement -

TEHRAN: Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dijadualkan melawat Tehran pada hari ini, Selasa (26 Mac) untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai kerajaan Iran berhubung perang di Semenanjung Gaza.

Haniyeh bersedia untuk bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian di ibu negara Iran, di sini, ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata segera di Gaza, lapor New Arab.

- Advertisement -

Pernah dilantik sebagai Perdana Menteri Palestin pada Jun 2006 hingga Jun 2007, Haniyeh  pernah dipenjarakan Israel  pada 1989 selama tiga tahun sebelum dibebas pada 1992, kini merupakan pelarian.

Haniyeh, 61, berada di Istanbul, Turkiye ketika serangan Israel ke atas Gaza  pada 7 Oktober 2023, dengan kediaman utamanya adalah di Qatar.

Setakat ini, rejim Tel Aviv telah membunuh sekurang-kurangnya 32,142 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan 74,412 yang lain melalui serangan bom.

Israel juga sengaja telah menyebabkan rakyat di Gaza kelaparan dengan menyekat akses bantuan makanan, yang merupakan jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva dan Statut Rom. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -