Hasilkan benih padi berkualiti, tuai jangka masa pendek

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan perancangan untuk membolehkan lebih banyak kawasan jelapang padi yang menghasilkan benih tanaman bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) berkata, ia juga bagi mengelak kenaikan kos output selain menangani cabaran seperti kelewatan bekalan benih.

“Sejauh manakah hasil kajian penyelidikan terkini berhubung penghasilan benih padi berkualiti dan boleh tuai dalam jangka masa pendek melalui kolobrasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta agensi penyelidikan yang terlibat,” ujarnya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang menjawab soalan itu berkata, pihaknya sentiasa melakukan kajian khususnya di MARDI untuk menghasilkan benih variati padi yang boleh berdaya tahan daripada penyakit, kemarau serta boleh meningkatkan hasil yang lebih tinggi.

“Kini di MARDI kita mempunyai 53 variati benih padi yang digunakan oleh pesawah kita dan majoriti daripada para pesawah di Malaysia sedang menggunakan variati padi daripada MARDI.

“Yang kedua adalah memastikan infrastruktur khususnya saliran air sentiasa berada dalam keadaan yang baik supaya bekalan air tidak terganggu untuk sawah padi supaya kita boleh memastikan kita dapat tuaian pengeluaran padi dan beras yang konsisten dalam negara kita,” katanya.

Terdahulu, Joseph Kurup menjwab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini usaha kementerian untuk memperluas penanaman padi di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ala Sekinchan di Sabah. – HARAKAHDAILY 26/03/2024

- Advertisement -