Kelantan bantu penarik beca tingkat pendapatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri merangka beberapa inisiatif untuk membela nasib penarik beca bagi meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, tumpuan diberi khususnya penarik beca yang berdaftar dengan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC).

Menurutnya, sejak beberapa tahun lepas kerajaan negeri memberi sumbangan dua kali setahun bagi meringankan beban penarik beca.

“Bantuan yang diberi sebelum ini akan diteruskan sebagaimana biasa termasuk sumbangan Ramadan dan Aidilfitri.

“Bagaimanapun kita akan berusaha dengan kaedah lain untuk membantu penarik beca meningkatkan pendapatan,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Sara Hidup Siri Satu 2024 Penarik Beca di TIC, hari ini.

Kerajaan negeri melalui Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan mengadakan Program Bantuan Sara Hidup Penarik Beca dua kali setahun.

Bantuan terbabit iaitu wang tunai sebanyak RM600 serta barangan dapur yang bernilai RM150.

Kamarudin berkata, bantuan bersiri itu membuktikan kecaknaan kerajaan negeri dalam usaha membela nasib penarik beca yang berdepan dengan pelbagai cabaran kenaikan kos sara hidup sekarang.

“Bantuan wang tunai dan bakul makanan diharap dapat membantu meringankan beban penarik beca khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Manakala bantuan untuk siri kedua akan diadakan pada Oktober nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -