PADU: Pendaftaran di negeri PN tiada masalah

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, sambutan terhadap pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di negeri-negeri dikuasai PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat tidak mempunyai masalah.

- Advertisement -

Ini, menurut beliau jika dibandingkan dengan beberapa negeri yang dikuasai Kerajaan Madani yang dilihat bermasalah dalam hal itu.

“Kita mendengar laporan ataupun kenyataan daripada pemimpin kerajaan Negeri Sarawak, Sabah yang secara rasminya memohon meminta rakyat mereka supaya tidak mendaftar PADU.

“Berbeza dengan kerajaan-kerajaan di bawah PERIKATAN NASIONAL yang tidak mempunyai sebarang masalah tentang PADU,” ujarnya sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat meminta penjelasan daripada Menteri Ekonomi sama ada pihak kementerian ada mengadakan libat urus dengan pihak kerajaan-kerajaan negeri.

“Bagaimana kerajaan membuat runding libat urus dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam isu pendaftaran PADU sehingga seolah-olah orang melihat tidak ada keseragaman dalam kepercayaan dalam kerajaan itu sendiri?” soalnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam jawapannya berkata, proses libat urus tata kelola ke arah melaksanakan PADU telah berlaku lebih setahun lamanya.

“Keputusan awal dibuat di dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang ada wakil daripada kerajaan Sarawak dan juga daripada Sabah. Setelah ia diluluskan, ia dibawa pula kepada Kabinet, sama juga, ada wakil daripada Sabah dan Sarawak.

“Kemudian ia dibawa ke peringkat Majlis Data Dan Statistik Negara yang dianggotai oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri daripada seluruh negara dan dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri kedua iaitu daripada Sarawak,” ujarnya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan apakah mekanisme untuk meningkatkan dan mempercepatkan pendaftaran rakyat Malaysia terhadap PADU yang mana setakat Januari 2024 hanya 1.3 juta sahaja yang telah mendaftar dan apakah langkah-langkah kawalan data PADU daripada disalahgunakan. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -