‘Saya ulang balik J-KOM perlu dibubarkan’

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi digesa membubarkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang memakan belanja sebanyak RM25,578,000 yang menggunakan duit rakyat dan pembayar cukai.

- Advertisement -

Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, jumlah ini boleh disalurkan dalam bentuk subsidi kepada rakyat terutama di zaman barang semua dalam keadaan yang mahal ini ataupun ‘Mahaldahni’. 

“Adakah kerajaan bersetuju J-KOM tidak memainkan peranan dan fungsi dengan baik dan dilihat gagal menaikkan imej kerajaan Madani serta menerangkan beberapa permasalahan, terutamanya dalam isu kenaikan harga barang. Kos sara hidup termasuk isu Palestin dan pembelaan kepada mereka.

“Oleh itu sekali lagi saya cadangkan, saya ulang balik J-KOM perlu dibubarkan.

“Cukuplah dengan Jabatan Penerangan yang telah sedia ada juga berada di bawah Kementerian Komunikasi, kementerian yang sama kerana J-KOM gagal menjalankan tugas dengan sempurna serta tidak berfungsi dengan baik. Kerajaan boleh jimatkan perbelanjaan sebanyak RM25,578,000,” ujar beliau.

Ustaz Abdul Latiff menyatakan demikian semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 di Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya J-KOM adalah penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas ataupun JASA yang dilakukan oleh Kerajaan PH 1.0 pimpinan Perdana Menteri ketujuh pada tahun 2018.

“Apakah tumpuan Kerajaan PH 2.0 ataupun Kerajaan PH-BN pada hari ini? Apakah sebenar-benarnya tanggungjawab dan peranan mereka? Apakah misi, visi dan objektif yang ingin dicapai oleh J-KOM dalam pentadbiran kerajaan campuran pada hari ini?

“Apakah tidak berlaku pertindanan tugas dengan Jabatan Penerangan yang juga berada di bawah Kementerian Komunikasi. Saya minta agar perkara ini diperjelaskan supaya peruntukan yang diberikan ini adalah peruntukan yang efektif dan bermanfaat untuk rakyat,” soal beliau.

Beliau juga memohon penjelasan apakah perancangan dan modul yang J-KOM akan lakukan kerana tidak terlalu jelas dan juga tidak juga terlalu menonjol.

“Ada ke tidak J-KOM ini sedangkan bajetnya ada. Tahun lepas pernah viral (tular) dan rakyat menyedari kewujudan J-KOM tetapi bukan sebab kerja J-KOM tetapi sebab lain yang telah mencemarkan imej J-KOM iaitu isu skandal A&W.

“Dan adakah J-KOM ini menjadi lidah rasmi kerajaan ataupun menjadi lidah rasmi parti politik kerajaan ataupun parti-parti politik dalam kerajaan? Perlu diingat supaya J-KOM tidak menjadi lidah rasmi parti politik atau menjadi alat propaganda semata-mata bagi berdepan dengan rakyat.

“Saya juga ingin bertanya berapakah jumlah kakitangan JKOM? Apakah mereka merupakan lantikan politik? Boleh Yang Berhormat Timbalan Menteri perincikan kepada saya jumlah lantikan politik dan juga bukan lantikan politik dan pecahan mengikut kaum,” soal beliau yang pernah mengungkapkan perkara itu dalam perbahasan belanjawan pada 6 November tahun lepas berkaitan persoalan yang sama. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -