AS berkecuali: PBB tuntut gencatan senjata segera di Gaza 

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour bercakap dengan media susulan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB untuk mengundi resolusi Gaza yang menuntut gencatan senjata serta-merta bagi bulan Ramadan yang membawa kepada gencatan senjata mampan kekal, dan pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua tawanan, di ibu pejabat PBB di New York City, Amerika Syarikat, pada 25 Mac 2024. (FOTO: The Japan News)
- Advertisement -

NEW YORK CITY: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini (26 Mac) mengumumkan telah menerima pakai resolusi pada Isnin (25 Mac) yang telah menuntut gencatan senjata segera antara Israel dan Hamas, selepas Amerika Syarikat  berkecuali daripada pengundian, mencetuskan pergeseran dengan sekutunya, Israel.

Baki 14 ahli majlis mengundi resolusi itu – yang dicadangkan oleh 10 anggota badan yang dipilih – yang juga menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua tawanan Israel di Gaza, dengan tepukan gemuruh di dalam dewan selepas pengundian.

- Advertisement -

“Resolusi ini mesti dilaksanakan. Kegagalan tidak boleh dimaafkan,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di media sosial, lapor Reuters.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa, kegagalan AS untuk memveto resolusi itu adalah ‘pengunduran yang jelas’  daripada kedudukannya sebelum ini dan akan menjejaskan usaha perang Israel dan cuba membebaskan lebih 130 tawanan d bawah Hamas.

Namun, jurucakap Rumah Putih, John Kirby dalam kenyataan kepada media berkata, “Undi (berkecuali) kami tidak, dan saya ulangi itu tidak mewakili perubahan dalam dasar kami.

“Tiada apa-apa yang berubah tentang dasar kami. Tiada apa-apa.”

Berikutan undian PBB tersebut, Netanyahu telah membatalkan lawatan ke Washington oleh delegasi peringkat tinggi yang akan membincangkan operasi ketenteraan Israel yang dirancang di bandar Rafah di selatan Gaza, di mana kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan.

“AS bingung dengan keputusan Israel dan menganggapnya sebagai reaksi keterlaluan” kata seorang pegawai AS memberitahu Reuters dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Terdahulu, Washington telah menolak perkataan gencatan senjata lebih awal dalam perang hampir enam bulan di Semenanjung Gaza dan telah menggunakan kuasa vetonya untuk melindungi sekutu Israel ketika ia bertindak balas terhadap Hamas untuk serangan 7 Oktober yang didakwa Israel  telah membunuh 1,200 warganya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -