Pusat disaran tanggung kos tukar paip lebihi 40 tahun

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat dicadangkan menanggung kos penukaran keseluruhan paip asbestos cement (AC) yang melebihi 40 tahun di seluruh negeri.

- Advertisement -

Menurut Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, (PN-Kubang Kerian), operator negeri tidak akan mampu menanggung kos berkenaan dan kadar air tidak terhasil (NRW) juga akan terus meningkat.

“Masalah besar kita kebanyakan negeri lebih 50 NRW ini merupakan kerugian yang terpaksa ditanggung bilion ringgit setahun oleh kerajaan (negeri).

“Apakah Rompin bersetuju bahawa kerajaan persekutuan menanggung kos untuk penukaran untuk semua paip AC,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, di Dewan Rakyat, hari ini.

Khalib menyokong cadangan yang dikemukankan oleh Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu sekali gus meminta ia dimasukkan dalam hansard perbahasannya.

Dalam ucapannya, Abdul Khalib membangkitkan mengenai peruntukan bekalan air di Negeri Pahang yang mana pada asalnya sebanyak RM807 juta, berlaku peruntukan semula perbelanjaan sebanyak RM7 juta dan pinjaman sebanyak RM13.5 juta.

“Adakah pertambahan peruntukan ini termasuk sekali usaha menaiktaraf paip-paip lama yang sudah terlalu usang. Di Pahang terdapat 12,000 kilometer (km) panjangnya paip kalau nak dibandingkan jarak antara Kuala Lumpur dan London 10,909 km maknanya lagi panjang paip di negeri Pahang.

“Daripada 12,000 km ini, 3,618 km masih lagi menggunakan AC paip lama jadi kerap berlaku kebocoran, saya ingin mengambil contoh di kawasan saya di Kota Shah Bandar, baiki pagi petang bocor, baiki petang pagi esok bocor, paling lama tiga hari karat bocor balik,

“Bilakah baki untuk menukarkan 3,618 KM paip air yang menggunakan paip AC di negeri Pahang ini akan dilakukan,” soalnya. – HARAKAHDAILY 26/03/2024

- Advertisement -