Pengorbanan anggota keselamatan jihad mulia di sisi agama

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sentiasa menghargai jasa bakti anggota pasukan keselamatan yang sentiasa komited berkorban menjaga keamanan negara.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nasuruddin Daud berkata, pengorbanan anggota pasukan keselamatan merupakan jihad dan khidmat bakti yang mulia di sisi agama.

“Islam menekankan keamanan dan kesejahteraan berlandaskan maqasid syariah,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Raya Aidilfitri  kepada pasukan keselamatan di Dewan Teratai Kota Darulnaim, hari ini. (Foto atas)

Sebanyak 17 pasukan keselamatan yang akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri menerima 13,500 bungkusan kuih sumbangan kerajaan negeri.

Turut hadir menerima kuih tersebut Ketua Polis Kelantan Dato’ Muhamad Zaki Harun mewakili Kontinjen Polis Negeri.

Menteri Besar juga berkata, pengorbanan anggota pasukan keselamatan menjaga keselamatan negeri dan negara demi mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam.

Kata beliau tanpa pengorbanan pasukan keselamatan, rakyat di sesebuah negara tidak mampu menikmati keamanan yang sebenar.

“Keamanan dan kesejahteraan merupakan nikmat hidup yang amat besar. Tanpa keamanan kita tidak dapat melakukan ibadat seperti solat, zakat dan puasa dengan sempurna,” ujarnya. 

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pertubuhan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kelantan (PURNAMA) yang mengelola program tersebut sejak lebih 30 tahun. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -