Gesa Malaysia ambil langkah bebaskan Palestin

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia diminta mengambil langkah bagi memastikan rakyat Palestin bebas dari kekejaman Israel di mana mutakhir ini rejim terus berdegil dengan bertindak ganas termasuk menyerang hospital Al-Shifa dan tenteranya merogol wanita di situ, demikian kata Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik).

“Bagaimana Malaysia merancang untuk memperkuatkan kerjasama dengan negara-negara lain yang turut terlibat dalam proses nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang disertai bersama oleh YB Menteri sendiri?

- Advertisement -

“Iaitu bagi memastikan penekanan yang konsisten dan berkesan terhadap kepatuhan Israel kepada undang-undang ataupun yang telah diputuskan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan ICJ sendiri,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini.

Tarmizi dalam soalan asalnya minta menyatakan perancangan susulan pihak kerajaan dalam membantu dan menyokong tuduhan pembunuhan beramai-ramai tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang dibawa ke ICJ oleh Kerajaan Afrika Selatan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sentiasa memberi penekanan dengan tegas dan lantang menggunakan segala platform dan pentas-pentas yang ada di seluruh dunia dengan mengemukakan pandangan dan prinsip mengecam dan menggesa supaya Israel menghentikan keganasan.

“Kita mahu Palestin ini diberikan hak negara sendiri yang berdaulat dan rakyatnya balik ke kawasan kampung halaman mereka semula dan mereka menjadi ahli Bangsa-bangsa Bersatu.

“Segala pentas dunia kita gunakan, segala hubungan diplomasi kita gunakan dan baru-baru ini dengan tegas dan lantang YB PM di Australia dan semasa bersoal jawab dua hala dengan Jerman-Malaysia dan semasa sesi menjawab soalan daripada media.

“Sengan lantang membawa suara Malaysia bahawa kita mengutuk mengecam perbuatan kejam, pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin. Maka kita mahu supaya gencatan senjata kekal dilakukan segara, ini perlu dilakukan secara konsisten,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -