Rumah Mampu Milik, tetapi hanya mampu tengok

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rumah Mampu Milik (RMM) di Selangor telah ditetapkan harga sebanyak RM300,000 sedangkan laporan Ketua Audit Negara mendapati bahawa rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pun gagal dijual.

Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, perkara ini telah membawa maksud bahawa rakyat tidak mampu dengan dasar polisi yang dikatakan ‘mampu milik’ tersebut.

- Advertisement -

“Berapa sebenarnya (rumah) sebab sebahagian apa yang dirangka sebagai mampu milik sebenarnya mampu tengok sahaja oleh rakyat,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, menurut laporan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) menjangka pada tahun ini berkemungkinan harga kos rumah hartanah meningkat 10 hingga 20 peratus.

Beliau mempersoalkan tindakan institusi kewangan yang disifatkannya mengambil pendekatan sangat membebankan pengguna.

“Sebagai contoh hutang isi rumah ini kadang-kadang dia ambil keuntungan untuk diambil potongan keuntungan jauh lebih besar daripada bayaran ‘pokok’.

“Perkara ini menyebabkan jika pengguna atau peminjam berhutang 10 hingga 20 tahun, apabila disemak semula hutang ‘pokok’ masih seolah tidak bergerak.

“Jadi saya ingin penjelasan apakah kaedah mekanisme oleh pihak kerajaan laksanakan supaya lebih adil kepada pinjaman perumahan tersebut potongan yang dibayar oleh peminjam lebih adil kepada peminjam daripada institusi kewangan,” ujarnya.

Dalam soalan asalnya, beliau ingin kementerian menyatakan usaha untuk memastikan jumlah pembinaan rumah mampu milik meningkat terutama di kawasan luar bandar bagi memenuhi permintaan.

Hal demikian katanya, turut diambil kira laporan Indeks dan Survei Hartanah IQI Suku Keempat Malaysia 2023 di mana harga jualan rumah dan sewa akan meningkat lebih tinggi tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kementeriannya telah memperkenalkan melalui dasar perumahan mampu milik negara dan menetapkan siling harga rumah mampu milik pada kadar RM300,000.

“Sebenarnya rumah mampu milik adalah rumah yang berharga RM300,000 dan ke bawah. Walau bagaimanapun harga siling rumah mampu milik ini sebenarnya adalah juga terletak kepada kerajaan negeri sama ada bersedia ataupun tidak,” katanya.

Tambah beliau, soalan Ahli Parlimen Kubang Kerian yang selebihnya akan dijawab secara bertulis.– HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -