Pengeluaran bekalan air kurang akibat kemarau

- Advertisement -

KOTA BHARU: Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mendapati hanya lima rumah yang terjejas berikutan gangguan bekalan air di Kampung Kemubu, Dabong.

- Advertisement -

Katanya bukan 50 rumah sebagaimana dakwaan penduduk ekoran paip bersaiz 100 mm bocor di kawasan landasan laluan keretapi berhampiran kampung tersebut.

Menurut AKSB kedudukan lima rumah terbabit agak tinggi sehingga menyukarkan bekalan air bersih sampai secara normal.

“Kerja-kerja pembaikian mengambil sedikit masa kerana kedudukan paip di cerun bukit yang boleh menjejaskan kestabilan cerun berhampiran rel.

“AKSB Kuala Krai bersama SPAN Cawangan Kelantan sudah meninjau ke lokasi terbabit semalam,” katanya pada kenyataan di sini. 

Kampung Kemubu mendapat bekalan air daripada Loji Stong dan diagihkan kepada tangki Kemubu sebelum ia disalurkan kepada penduduk.

AKSB turut mengambil maklum kesukaran pengguna di Kampung Simpangan, Tumpat yang terjejas bekalan air akibat musim kemarau berpanjangan sekarang.

“Sumber air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas mengalami penyusutan ketara berikutan musim kemarau, di mana pengeluaran semasa berkurang kira-kira 10 Juta Liter Sehari (JLH) daripada pengeluaran semasa 80 JLH.

“Kampung Simpangan terletak di penghujung bekalan paip utama, di mana sumber bekalan air utama daripada LRA Kelar dan diagih ke Tangki Imbangan di Tangki Cabang 4, Tumpat sebelum disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya juga AKSB akan membuat kerja-kerja penyelenggaraan Telaga Jejari (HCW) di Kampung Smuba bagi meningkatkan kadar aliran air mentah masuk ke telaga.

AKSB juga menempatkan enam tangki statik dengan kapasiti 600 gelen – 1,800 gelen di sepanjang Jalan Kasban, iaitu dari Kampung Mentua sehingga Kubang Sawa.

AKSB juga berkata, bagi meringankan beban penduduk, Lori Air Kontrak (LAK) akan berulang-alik menghantar bekalan ke tangki-tangki statik tersebut.

“AKSB berharap pengguna dapat bersabar dan AKSB telah dan sedang mengambil tindakan segera bagi meminimakan gangguan bekalan air di musim kemarau sekarang,” ujarnya.

Perkembangan lanjut berkaitan bekalan air boleh mengikuti melalui sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau hubungi PINTAS di talian 15777. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -