Rangka kurikulum bantu pelajar lemah akademik

Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara perlu bersedia memberi sokongan kepada pelajar yang kurang pencapaian akademik bagi mengembangkan bakat mereka ke tahap lebih tinggi.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, sokongan itu bagi membolehkan golongan tersebut mampu membina kerjaya sendiri di masa hadapan.

- Advertisement -

“Bagaimana kesediaan kerajaan dalam merangka kurikulum khusus kepada pelajar yang kurang pencapaian akademik untuk mengembangkan bakat mereka ke tahap maksimum dan mampu untuk membina kerjaya,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi soalan tambahan kepada Kementerian Pendidikan di Dewan Negara, hari ini.

Pada soalan asal, Senator Dato’ Dr Nelson Renganathan meminta pihak kementerian menyatakan status terkini berkaitan dasar mewajibkan pengajian sekolah menengah bagi mengelakkan keciciran pelajar sekolah rendah.

Menteri Pendidikan, Fadzina Sidek berkata, pihaknya menubuhkan enam pasukan petugas khas bagi mereformasikan pendidikan negara termasuk pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Tumpuan diberikan kepada TVET kerana ia termasuk dalam hala tuju negara ketika ini.

“Sementara lima lagi jawatankuasa akan memberi tumpuan kepada bidang termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembudayaan digital, intervensi kurikulum dan memartabatkan Bahasa Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -