Jumlah pendapatan penduduk terkaya di India atasi AS 

Manusia terkaya di India, Mukesh Ambani. (FOTO: The Statesman)
- Advertisement -

NEW DELHI: Kekayaan tertumpu kepada satu peratus penduduk terkaya di India berada pada tahap tertinggi dalam tempoh enam dekad, dan peratusan bahagian pendapatan terkumpulnya kini melebihi negara lain termasuk Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan penyelidik World Inequality Lab (WIL) dalam kajiannya berkata, sejak India, yang memenangi kemerdekaannya pada  tahun 1947 daripada Britain membuka pasarannya kepada pelaburan asing pada 1992, bilangan bilionair di negara itu telah melonjak secara drastik.

- Advertisement -

“Menjelang akhir 2023, rakyat terkaya India memiliki 40.1 peratus kekayaan negara – tertinggi sejak 1961, dan bahagian mereka daripada jumlah pendapatan ialah 22.6 peratus, paling banyak sejak 1922,” ujar kenyataan WIL.

Tambah kenyataan itu, pada 2014, Perdana Menteri Narendra Modi telah dipilih atas mandat untuk pembangunan dan pembaharuan ekonomi India, lapor Reuters.

Namun pengkritiknya berkata, dua penggal terakhir beliau memegang jawatan telah dicirikan oleh jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin luar bandar apabila ekonomi India berkembang pada 8.4 peratus, paling cepat dalam tempoh satu setengah tahun, dalam tiga bulan terakhir 2023.

162 bilionair dalam tempoh 31  tahun

Sehubungan itu, kongres parti pembangkang utama India telah membangkitkan isu keintiman kerajaan Modi dengan golongan bilionair dalam perhimpunan menjelang pilihan raya negara itu bermula dari 16 April ini.

Tambah kenyataan WIL, masalah kurang mendapat pendidikan telah memerangkap sesetengah individu di India dalam pekerjaan bergaji rendah dan menekan pertumbuhan 50 peratus bagi golongan rakyat marhaen terbawah dan 40 peratus golongan pertengahan.

Data daripada ranking jutawan Forbes menunjukkan bilangan orang India dengan kekayaan bersih melebihi AS$1 bilion meningkat daripada seorang pada 1991 kepada 162 pada 2022.

10,000 individu terkaya daripada 92 juta orang dewasa di India memiliki purata 22.6 bilion rupee (AS$271.91 juta) kekayaan, 16,763 kali ganda purata negara, manakala 1 peratus individu teratas dalam kumpulan terkaya itu memiliki purata kenyataan mencecah 54 juta bilion rupee.

Individu terkaya di India ialah pemilik empayar di Asia Reliance Industries, Mukesh Ambani dengan aset kekayaan terkumpul mencecah AS$117.5 bilion.

Majoriti golongan terkaya di India berpusat di Mumbai seramai 56 orang, diikuti Delhi (37) dan Bengaluru (17); dengan sektor yang menjadi tumpuan mereka seperti komoditi, teknologi, infrastruktur, kesihatan dan perlombongan logam. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -