Cuaca panas: Bekalan air di Kedah masih stabil

Mohamad Yusoff@Munir Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Paras air di Empangan Sungai Muda dilaporkan masih stabil dan terkawal walaupun beberapa hari lalu berlaku penyusutan agak ketara.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, walau bagaimanapun beberapa tempat termasuk Langkawi mengalami situasi agak kritikal ekoran tiada hujan serta mengalami cuaca panas berterusan.

“Paras air di Empangan Bukit Malut (Langkawi) dilaporkan berada pada tahap 67.46 meter dan agak kritikal untuk menampung keperluan penduduk tempatan.

“Situasi ini menyebabkan 4,732 daripada 33,219 akaun akan terjejas,” kata beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, semalam.

Justeru, jelasnya, mesyuarat Exco itu bersetuju diadakan solat sunat istisqa’ (mohon hujan) secara besar-besaran di beberapa tempat terutamanya yang tidak menerima hujan.

Keputusan itu, tambahnya sebagai usaha memohon bantuan Allah SWT selain yang dilakukan oleh pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.

“Saya juga mengharapkan agar para pengguna menggunakan air dengan cara berhemah walaupun kita akur dalam keadaan cuaca panas sebegini, Ada yang mandi beberapa kali, siram pokok yang hampir kering dan lain-lain, ” ujarnya ekoran dilaporkan penggunaan air ketika ini lebih tinggi berbanding pengeluaran seharian.

Setakat ini katanya, penggunaan air seharian mencecah 1.6 juta liter sehari berbanding kapasiti pengeluaran 1.45 juta liter.

Mengulas lanjut, tambahnya SADA telah menggerakkan kira-kira 91 buah lori tangki air ke beberapa kawasan yang terputus bekalan.

Jumlah berkenaan, kata beliau akan ditambah menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, sehingga 20 Mac lalu, status semasa takungan Empangan Pedu adalah 71.46 peratus manakala takungan Muda 45.2 peratus.

Berdasarkan status tersebut tiada masalah pembekalan air daripada Empangan Pedu untuk kegunaan loji rawatan air (LRA) sehingga hujung tahun ni.

Dalam perkembangan itu kata Munir lagi, pihaknya belum bercadang mengadakan pembenihan awan. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -