Isu kalimah Allah: Pemuda PAS junjung titah Agong

Afnan Hamimi (tengah) mengingatkan semua peniaga di Malaysia tidak mengira latar belakang agama dan bangsa untuk sentiasa menjaga sensitiviti umat Islam di Malaysia termasuk berkaitan barang jualan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar agar tindakan keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berhubung isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, bukan baru sekali isu penghinaan kalimah Allah dan penghinaan terhadap agama Islam berlaku di Malaysia. 

- Advertisement -

“Kini, ia berulang lagi dan dilakukan oleh peniaga yang telah lama bertapak di Malaysia. Lebih menghairankan apabila terdapat pimpinan ahli politik daripada pihak kerajaan yang sepertinya cuba ‘melindungi’ kedai serbaneka tersebut dan meminta umat Islam untuk tidak memperbesarkan isu berkenaan. 

“Sesungguhnya mereka masih gagal untuk memahami kemarahan umat Islam apabila kesucian agama diperkotak-katik sedemikian rupa. Mereka tidak layak untuk bersuara sedikit pun dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menegaskan bahawa, sepertimana yang ditegaskan dalam titah YDPA semalam itu, Pemuda PAS juga berpendirian hal yang sama dan meminta pihak yang bersalah dihadapkan dengan hukuman yang keras, tidak cukup dengan hanya sekadar permohonan maaf.

“Pemuda PAS menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini. Selain itu, Pemuda PAS mengharapkan kemurkaan Agong ini menjadi satu amaran keras kepada semua pihak yang selama ini bermudah-mudah dalam hal menjaga sensitiviti agama Islam. 

“Terutama sekali segelintir ahli politik yang sentiasa menyalahgunakan isu 3R (raja, agama, bangsa) untuk menghukum pihak yang tidak senada,” ujarnya.

Tambah beliau, insiden tersebut juga perlu dijadikan ikhtibar oleh semua peniaga di Malaysia tidak mengira latar belakang agama dan bangsa untuk senantiasa menjaga sensitiviti umat Islam di Malaysia biarpun dalam hal barang jualan. 

“Jika tidak, nantikanlah gelombang boikot besar-besaran daripada rakyat Malaysia!” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -