Israel kecam Parlimen Kanada lulus tamatkan eksport senjata

Parlimen Kanada telah meluluskan usul untuk menghentikan pengeksportan senjata ke Israel pada 19 Mac 2024. (FOTO: The Canadian Encylopedia)
- Advertisement -

OTTAWA: Kanada bakal menghentikan eksport senjata ketenteraan ke Israel selepas parlimen negara itu meluluskan undian untuk melaksanakan langkah tersebut.

- Advertisement -

Menteri Luar Kanada, Melanie Joly berkata, undian pada Selasa (18 Mac), waktu tempatan itu dilakukan susulan usul parlimen yang dibawa oleh Parti Demokrat Baru (NDP) yang mendesak agar kerajaan dari parti Liberal menghentikan eksport senjata negara itu ke Israel. 

NDP merupakan antara parti yang menyokong kerajaan minoriti pimpinan Justin Trudeau, namun menyatakan kekecewaannya terhadap dasar kerajaannya yang dilihat gagal untuk melindungi orang awam di Gaza ketika konflik Israel-Hamas yang berlarutan sejak Oktober tahun lalu.

Usul berkenaan mendapat undian bersetuju sebanyak 204 berbanding 117 tidak bersetuju dengan majoriti sokongan datang dari parti Liberal, Bloc Quebecois dan Parti Hijau yang turut menggesa agar Kanada mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, lapor i24 News.

“Ia  perkara yang nyata,” tegas Joly yang menyatakan gerakan ini bukan sekadar simbolik. 

Tambah beliau, perkara berkenaan adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk berusaha ke arah penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik antara Israel dan Palestin, selaras dengan dasar kerajaan Kanada.

Sebagai respons kepada isu keputusan terbaharu Kanada itu, Menteri Luar Israel, Katz menyatakan kekecewaannya sambil mengecam tindakan tersebut sebagai merendahkan hak Israel untuk mempertahankan diri terhadap serangan Hamas. 

“Sangat malang apabila kerajaan Kanada mengambil langkah yang merendahkan hak Israel untuk mempertahankan diri dari serangan Hamas yang telah melakukan jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Israel termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak.

“Israel akan terus berjuang sehingga Hamas dimusnahkan dan kesemua tawanan dibebaskan”, katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -