PAS Johor Bahru genap 70 tahun hari ini

- Advertisement -

Dalam satu laporan yang disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu bertarikh 20 Mac 1954, PAS telah menubuhkan cawangannya yang pertama di Johor iaitu di Johor Bahru pada 19 Mac 1954, menyaksikan Haji Ariffin Alias dipilih menjadi Yang Dipertua manakala Othman Abdullah dilantik sebagai Setiausaha, dan jawatan Penyimpan Wang (Bendahari) diamanahkan kepada Yusuf Abdul Rahim.

- Advertisement -

Oleh itu bersempena dengan tarikh hari ini, 19  Mac 2024, maka genaplah usia PAS bertapak di negeri Johor selama 70 tahun.

PAS Kawasan Johor Bahru cukup bersyukur dan  berbangga bersama semua rakyat bangsa Johor atas jatuh dan bangun perjuangan PAS yang membawa Islam  ke seluruh pelosok negeri ini. 

Dalam tempoh itu juga, PAS Johor Bahru sendiri telah melahirkan ramai kepimpinan negeri sehingga ke peringkat pusat.

Bermula dari Haji Ariffin Alias selaku pengerusi cawangan PAS yang pertama di Johor, beliau juga adalah Naib Ketua Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh British yang berpangkalan di Gunung Semanggol, Perak. 

Rumah beliau di Yahya Awal adalah tempat  pejabat PAS negeri dan ceramah umum PAS yang pertama dianjurkan di negeri Johor.

Almarhum Haji Hussin Besar pula satu nama yang tidak dapat dilupakan oleh kita semua di Johor, khususnya Johor Bahru. 

Terkesan dengan kenyataan Umno yang menghina Islam yang mengatakan Islam tidak sesuai jadi pemerintahan; dan selepas melihat sendiri cita-cita murni PAS yang memperjuangkan Islam telah menyebabkan beliau menyertai parti ini pada tahun 1954 selepas meninggalkan Persatuan Melayu Johor (PMJ). 

Beliau menjadi Yang Dipertua PAS Johor Bahru dan pernah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Johor. 

Beliau dikenali selaku orang yang pemurah apabila beliau telah menginfakkan tanah untuk dijadikan markas PAS Batu Pahat di Sungai Tongkang dan mewakafkan tanah di Simpang Renggam yang didirikan Madrasah Al-Masriyah sekolah agama berasrama di bawah Dewan Ulama PAS Johor.

Tidak dilupakan pejuang kemerdekaan negara, Almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmy yang membuka klinik di Johor Bahru dengan usaha beberapa pimpinan PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Johor, Haji Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh PAS Pusat telahpun mengisi borang menjadi ahli PAS di Johor Bahru dan telahpun diangkat selaku Yang Dipertua PAS yang ke 3 pada 1956 selama 13 tahun.

Kemudiannya Almarhumah Khadijah Sidek yang dipecat dari Umno pada 1956 juga menyertai PAS atas pelawaan Almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmy lalu bertanding dan menang di Parlimen Dungun, sebelum dilantik selaku Pesuruhjaya PAS Johor dan yang kemudiannya kalah di Parlimen Johor Bahru pada 1969 ditangan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Ismail Abdul Rahman

PAS Johor Bahru juga adalah tempat di mana Al-Fadhil Ustaz Abdullah Hussin mengisi borang menjadi ahli PAS dan diamanahkan untuk bertanding di Dun Tanjung Puteri pada tahun 1986 dan kalah dengan hanya mendapat 358 undi, beliau pernah dilantik selaku Ketua Dewan Ulama PAS Johor dan menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Johor sehingga sekarang.

Akhir sekali, Prof Madya Dr Mohd Mazri Yahya yang juga anak kelahiran Johor Bahru telahpun menyertai PAS ketika sedang belajar, pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan akhirnya, pulang ke Johor Bahru lalu dilantik selaku Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru pada tahun 2011.

Kemudiannya beliau menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru dari 2013 sehingga sekarang, selain juga pernah dilantik oleh perhubungan negeri selaku Bendahari dan Timbalan Pesuruhjaya pada tahun 2019, dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat dari tahun 2019 hingga sekarang.

EDDY IZWAN MUSA (Pengerusi Tetap PAS Kawasan Johor Bahru)

- Advertisement -