Guru PASTI bekerja secara sukarela, penuh ikhlas

Paparan kreatif Facebook netizen yang secara simbolik menggambarkan isu terkini tentang PASTI. (FOTO: Facebook @Ben Ashaari)
- Advertisement -

KUALA  LUMPUR: ⁠Keunikan guru-guru Pusat Tunas Asuhan Islam (PASTI) adalah mereka bekerja dengan PASTI secara sukarela dan dibayar elaun, bukan gaji.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, malah ada dalam kalangan guru-guru PASTI bertahan bekerja sehingga puluhan tahun.  

- Advertisement -

“Jika mereka rasa terbeban dengan elaun yang rendah, mana mungkin mereka mampu bertahan selama puluhan tahun? Lebih baik mereka cari kerja lain yang lebih menguntungkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PASTI, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) adalah institusi pendidikan di bawah kelolaan PAS yang telah menjadi salah satu tonggak yang menyokong sistem pendidikan di Malaysia, yang mana PASTI itu sendiri telah ditubuhkan sejak 36 tahun lalu.

Lapan fakta menarik dan pasti tentang PASTI. (FOTO: Facebook@PAS Selangor)

Terdahulu, isu timbul apabila daripada kenyataan Menteri Sumber Manusia,  Steven Sim Chee Keong di Dewan Rakyat semalam, menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan termasuk ke atas parti politik dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku peranggaran hak pekerja.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) dalam sesi Pertanyaan Menteri-menteri tentang satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia yang tular, berkait satu arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap PASTI, SRITI dan SMITI, yang didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.

Ab Halim kelihatan teruja ketika mengunjungi sebuah PASTI. (FOTO: Facebook@ Ab Halim Tamuri)

Sementara Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam sidang akhbar di Parlimen semalam berkata, pihaknya kini berasa hairan kenapa selepas 40 tahun penubuhan secara sah, PASTI telah ditekan sejak akhir-akhir ini di bawah Menteri Sumber Manusia yang baharu.

“Kami tidak mahu menuduh wujud satu agenda lain, namun tidak mahu masyarakat melihat kerajaan sedia ada tidak begitu selesa atau suka kepada pendidikan Islam pra-sekolah,” katanya yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS.

Dalam sidang akhbar yang sama, Afnan turut berkata: “Menteri (dalam sidangg Dewan Rakyat) tidak jawab soalan saya, apa tujuan dibuat siasatan di premis PASTI, keluar memo dari Kementerian Sumber Manusia mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (Semenanjung Malaysia) melakukan pemeriksaan di semua premis PASTI.

“Saya ada beberapa fakta dan dokumen yang boleh dijadikan bukti. Yang pertama, PASTI bukan entiti perniagaan atau sebuah tadika.

“PASTI merupakan aktiviti parti Pas untuk anak-anak ahli dan penyokong PASTI seperti peruntukan di bawah fasal 62 Perlembagaan Pasti pindaan 2020.

“Bukti yang kedua, program aktiviti Pasti ini diiktiraf di bawah peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menyebut keputusan parti politik adalah muktamad dan konklusif dan itu punca kuasa yang diberikan kepada PAS untuk menjalankan aktiviti PASTI.

Sementara dalam pada itu, menurut Ab, Halim lagi, saban tahun, PASTI mula mendapat tempat di hati ibu bapa kerana mereka yakin dengan silibus dan sistemnya.

Sebahagian daripada 1,375 murid dari 79 PASTI seluruh Melaka diraikan dalam Konvokesyen dan Majlis Anugerah Prestasi PASTI di Dewan Ar-Rahmah, Solok Gaung, Melaka pada 3 Feb 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abu Anas)

“⁠Walaupun PASTI bukan tadika kerajaan, tapi yurannya yang rendah membuatkan PASTI menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa. Malah, ada ibu bapa bukan Islam yang turut menghantar anak-anak mereka ke PASTI,” kongsinya.

Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan PASTI sudah pasti kerana guru-gurunya mendidik anak-anak pra-sekolah ini dengan penuh keikhlasan bukan untuk mengejar keuntungan dunia semata-mata.

“Seronok kita tengok anak-anak PASTI seawal umur lima tahun sudah menguasai pelbagai surah, hadis dan doa harian. Seramai lebih dua juta alumni PASTI sudah bertebaran di seluruh Malaysia dan menabur bakti untuk anak bangsa,” ujarnya.

Antara komen beberapa netizen mengenai isu PASTI yang dibangkitkan di Parlimen semalam. (FOTO: Facebook@Ben Ashaari)

Beliau berkata lagi, sebagai sebuah institusi yang telah menyumbang kepada sistem pendidikan di Malaysia seperti PASTI ini seharusnya dibantu dan diperkukuhkan oleh semua pihak.

“Ayuh sama-sama kita membantu institusi pendidikan yang telah berjasa dalam pembangunan agama, bangsa dan negara. Lihatlah sumbangan PASTI yang penuh bermakna dan kasihanilah guru-guru yang telah menabur bakti kepada anak-anak kita,” katanya.

Sementara sebagai respons daripada isu tentang PASTI, SRITI dan SMITI, seorang netizen yang prihatin pada hari ini (20 Mac) telah memuat naik gambar yang dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan pintar (AI) di Facebook miliknya, @BenAshaari yang menggambarkan perkara berbangkit.

Paparan Facebook Ben Ashaari itu segera meraih komen beberapa netizen lain antaranya  oleh Saidila Abdul Rahman dan Mohd Riduwan Jamaluddin yang masing-masing yang berbunyi: “…PASTI bagus kot..anak2 aku budak PASTI”, “Inilah padahnya Menteri Sumber Manusia dari kalangan puak tuh.” – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -