Zionis Israel menggila setiap kali Ramadan

Kamaruzaman dalam program Tazkirah Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di Kuala Lumpur pada hari ini, 19 Mac 2024, (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan setiap tahun bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, tetapi ia juga sering menjadi permulaan kepada kekejaman dan kegilaan Zionis Israel terhadap umat Islam di bumi Palestin.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad menyatakan bahawa Ramadan pada kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini kerana banyak siri pembunuhan yang telah dilakukan oleh Zionis Israel ketika berlangsungnya bulan Ramadan tahun ini.

- Advertisement -

“Kali ini (sejak 7 Okt 2023 hingga Ramadan 2024) sangat berbeza kerana kegilaan Israel tidak seperti biasa, tetapi kegilaannya menjadi luar biasa. 

“Namun, dalam keadaan seperti ini, kita menyambut Ramadan kali ini dalam keadaan kita benar-benar diuji dengan semangat cinta dan kasih kita kepada saudara-saudara kita di bumi Palestin”, kata mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harakah ini.

Tambah beliau, ia merupakan satu isu yang besar kerana dalam keadaan kita berlapar dan dahaga berpuasa, umat Islam di bumi Palestin bukan sahaja serba lapar dan dahaga, malah mereka juga  keselamatan nyawa mereka pula terancam. 

Dalam program Tazkirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang disampaikan oleh beliau pada hari ini (19 Mac), Kamaruzaman memetik satu kisah yang patut dihayati oleh umat Islam di negara ini ketika bulan Ramadan iaitu peristiwa Penyembelihan Sabra dan Shatila yang di Lubnan pada tahun 1982, dengan lebih 3,500 pelarian Palestin dibunuh.

Tazkirah berjudul, Ramadan Melatih Istiqamah itu diadakan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS. 

“Ini kita lihat sejarah kejahatan Israel bukan bermula hari ini. Dalam kita menyambut bulan Ramadan, puluhan ribu umat Islam di Palestin yang ingin ibadah solat tarawih di Masjid al-Aqsa bukan setakat dihalang, malah dihalau dan dipukul,” kongsi Kamaruzaman. 

Menurutnya, walaupun dalam keadaan puluhan ribu nyawa kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa dibunuh Zionis, Allah SWT telah menggantikannya dengan ribuan manusia telah memeluk Islam di seluruh dunia. 

“Hal ini seolah-olah menjadi satu signal dan inspirasi kepada orang bukan Islam di seluruh dunia melihat sesuatu yang istimewa yang ada pada umat Islam di bumi Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -