AUKU ‘bonsaikan’ fikiran mahasiswa di universiti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya mengikhtiarkan cara dan hala tuju lebih segar dalam usaha meningkatkan keberadaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi ‘student union’ yang sebenarnya.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah ‘membonsaikan’ pemikiran mahasiswa dengan merendah-rendahkan kemampuan mereka untuk mentadbir dan menguruskan organisasi mereka sendiri.

- Advertisement -

“Saya perhati dalam dewan ini ramai yang pernah menjadi mangsa AUKU sama ada yang baik ataupun tidak, khususnya Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim dan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

“Tapi kita faham tak semudah diminta, jadi perlu ada satu usaha ke arah itu untuk memperbaiki akta ini. Dalam soal ini, saya lihat pindaan fasal (2) sedikit sebanyak memberi ruang untuk mematangkan lagi mahasiswa kita,” ujarnya dalam perbahasan Rang Undang-Undang AUKU Pindaan 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu katanya, beliau pernah melihat kehebatan kesatuan mahasiswa khususnya di Universiti Malaya yang mampu mengangkat martabat dan darjat kepimpinan mahasiswa.

“Kita sudah pun membuat pindaan Perlembagaan untuk membolehkan undi 18 berlaku dan dengan pindaan fasal (2) ini, mungkin kita boleh belajar dan juga boleh ambil iktibar daripada badan-badan pelajar di luar negara.

“Untuk makluman dewan yang mulia pada 2022, pulangan jana pendapatan yang mereka dapat adalah sebanyak 11 juta pound (RM66 juta). Jadi bayangkan ini baru badan pelajar, belum lagi universiti yang ada wakaf dan sebagainya,” katanya.

Katanya, beliau percaya kepada mahasiswa untuk menguruskan kewangan dengan lebih matang tanpa ada campur tangan yang terlampau sangat daripada pihak universiti.

“Saya yakin kita boleh melahirkan mahasiswa yang benar-benar boleh memimpin negara pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -