Bantu penjenayah jejaki mangsa: Apple AirTag disaman

AirTag kini telah menjadi satu daripada teknologi bahaya dan menakutkan. (FOTO: South China Morning Post)
- Advertisement -

SAN FRANCISCO: Apple berdepan dengan tindakan saman daripada 30 individu atas tuduhan menghendap menggunakan produk penjejak objek keluarannya, AirTag, dengan tuntutan mahkamah itu antara lainnya mendakwa produk Apple AirTag itu telah membantu penjenayah untuk menjejaki mangsanya.

Saman yang difailkan pada 2022 itu cuba dirayu oleh syarikat Apple untuk membatalkan saman berkenaan, namun ditolak apabila pihak hakim di daerah San Francisco, Vince Chhabria memutuskan tiga plaintif dalam tuntutan berkenaan mempunyai dakwaan yang sah terhadap kecuaian dan liabiliti produk berkenaan, walaupun terdapat dakwaan lain yang ditolak oleh beliau. 

- Advertisement -

Tuntutan yang difailkan di utara negeri California itu turut mendakwa AirTag telah digunakan oleh penghendap dan telah membawa kepada kesan buruk seperti gangguan seksual dan pembunuhan, lapor GizChina

Plaintif mendakwa produk berkenaan telah menjadi pilihan para penghendap dan penjenayah kerana harganya yang rendah dan mampu milik iaitu AS$29 (RM137).

Apple dalam pada itu mendakwa pihaknya telah menerapkan beberapa ciri keselamatan di dalam produk berkenaan dan tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan di atas penyalahgunaan AirTag tersebut. 

Selepas berlaku penyalahgunaan itu, Apple telah memperkenalkan pelbagai ciri keselamatan seperti mengesan kehadiran AirTag yang tidak dikenali terus pada peranti dan mengaktifkan penggera untuk memudahkan ia dicari oleh pengguna. 

Apple dan Google bekerjasama melancarkan sistem mengesan AirTag pada peranti Android sebagai langkah keselamatan. 

Pihak plaintif kemudiannya mendakwa ciri-ciri keselamatan berkenaan tidak mencukupi untuk mengelakkan daripada berlakunya penyalahgunaan terhadap produk tersebut. 

Dokumen mahkamah menyatakan Apple mempunyai masa sehingga 27 Oktober ini untuk memberikan maklum balas mengenai tuntutan berkenaan. 

Disebabkan isu ini, AirTag telah menjadi ‘satu daripada teknologi bahaya dan menakutkan yang digunakan oleh penghendap’ kerana ia boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan menjejaki mangsa. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -