Ibu bekas timbalan menteri meninggal dunia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ibu kepada Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, Naimah Hassan meninggal dunia kira-kira jam 11.15 pagi tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat kegagalan fungsi buah pinggang.

- Advertisement -

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Kak Lah’ meninggalkan suami, Shaary Awang yang juga bekas ADUN Jelawat, tujuh anak dan 22 cucu.

Anak ketujuh allahyarham, Salwa Wahida berkata, kesihatan ibunya tidak menentu sejak kebelakangan ini dan keadaan semakin teruk Sabtu lalu.

“Kami adik beradik membawa emak ke HRPZ ll pada Sabtu lepas. Keadaannya semakin tidak baik selepas itu dan akhirnya arwah ditidurkan,” ujarnya ketika dihubungi.

Salwa yang bertugas di Pusat Perubatan An-Nisa’ Kota Bharu berkata, jenazah ibunya dibawa pulang dan akan disemadikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Ngoh, Gunong, Bachok.

Dr Ahmad Marzuk yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama) pada hantaran di media sosialnya memaklumkan bondanya kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Beliau juga memberitahu sesiapa yang mempunyai sebarang hutang piutang yang masih belum dilunaskan oleh arwah diminta menghubunginya.

“Kepada sesiapa yang mengenali arwah, saya memohon supaya dimaafkan segala salah dan silapnya,” ujarnya yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa.

Sementara itu Ketua Dewan Muslimat PAS Bachok, Norhaiti Ibrahim merakam ucapan takziah kepada anggota keluarga allahyarham.

Menurutnya juga sepanjanag hayatnya allahyarham sering terlibat dalam gerak kerja parti sejak dahulu lagi.

“Allahyarham sering menghadiri mesyuarat atau program-program yang dianjurkan sama ada peringkat kawasan atau negeri.

“Pemergian arwah begitu terasa memandangkan allahyarham seorang aktivis muslimat yang aktif dan sering memberi nasihat kepada anak-anak muda,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -