Ramadan di Palestin: masihkah ada setitis makna?

- Advertisement -

RAMADAN sepatutnya disambut dengan penuh keceriaan bagi seluruh umat Islam. Namun, bagi penduduk Palestin, ia disambut dengan suasana tegang dan tidak tenteram. Ini berikutan peningkatan sekatan, tekanan dan langkah-langkah keselamatan oleh pihak penjajah di Tebing Barat selain cengkaman perang serta kelaparan di Gaza.

Ini diburukkan lagi dengan kegagalan rundingan gencatan senjata di Mesir. Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berkata pada Ahad (10 Mac) bahawa Israel enggan memenuhi syarat Hamas untuk membuat pertukaran antara tebusan yang ditahan pihak Hamas dengan tahanan warga Palestin di wilayah penjajah.

- Advertisement -

Pihak Israel menolak untuk mengundurkan sepenuhnya tenteranya dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar untuk menghancurkan Hamas, walaupun selepas sebarang perjanjian gencatan senjata sementara sebelum ini.

Sementara itu, pertempuran dilaporkan berlaku di pekarangan Masjid al-Aqsa antara penunjuk perasaan dan pihak keselamatan rejim Zionis di mana puluhan ribu penduduk Palestin berkumpul setiap hari bagi membantah sekatan yang dikenakan terhadap mereka untuk beribadat di masjid suci itu.

Kawalan pihak polis diperketatkan ekoran kebimbangan berlaku keganasan di Baitulmaqdis Timur yang didiami oleh majoriti penduduk Palestin. Ribuan anggota polis dan keselamatan dikerahkan di lorong-lorong Kota Lama, Baitulmaqdis.

Ketegangan tahun ini diburukkan lagi oleh perang di Gaza yang sudah masuk bulan keenam. Dalam situasi sempadan yang ditutup, penduduk yang masih berada di utara Gaza terancam dengan kekurangan makanan. Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan setakat ini 23 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kebuluran.

Pihak berkuasa Palestin kelmarin melaporkan lebih 30 serangan udara sepanjang malam yang membunuh 82 orang. Dalam perkembangan berkaitan, tentera udara rejim Israel terus menggempur kawasan Khan Younis di selatan Gaza.

Keadaan yang buruk juga dilaporkan di Rafah, selatan Gaza di mana 1.5 juta penduduk Palestin sedang berlindung dan tidak mampu bergerak ke mana-mana. Mereka diancam dengan kekurangan bekalan air. Rata-rata penduduk berharap peperangan ini segera berakhir agar mereka dapat menyambut kedatangan Ramadan dengan setitis makna. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -