Wanita, Islam dan patriarki

- Advertisement -

TARIKH 8 Mac setiap tahun telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai Hari Wanita Antarabangsa yang direncana untuk meraikan kejayaan-kejayaan wanita dari aspek sosial, ekonomi, kebudayaan dan politik, di samping memperkasa usaha ke arah kesaksamaan terhadap wanita.

Di Malaysia, sambutan Hari Wanita Sedunia 2024 dilakukan dengan pelbagai acara dengan tema “Wanita Dijulang, Negara Gemilang”. KPWKM dalam satu siaran media pada 14 Februari 2024 menegaskan bahawa “kesaksamaan bukanlah bermaksud lelaki dan perempuan bersaing atau mempunyai hak dan keperluan sama rata semata-mata, tetapi ia adalah nilai menghormati dan membantu satu sama lain”. Justeru, konsep kesamarataan ini perlu benar-benar difahami dan tidak dikelirukan oleh konsep-konsep “ala-barat” yang lain seperti feminisme, dan matriarki.

- Advertisement -

Sesungguhnya dalam Islam, wanita dipandang tinggi dan mulia. Kedudukan dan martabat wanita yang telah diinjak dan dihenyak oleh kuasa kolonialis dan nafsu borjuis sebelum kedatangan Islam, telah diangkat semula oleh Islam. Wanita diberikan hak yang sama sebagaimana disebut dalam Surah Al-Baqarah, ayat 228 yang bermaksud “…dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)…”

Rasulullah SAW juga dalam banyak catatan hadis dan sirah mengangkat martabat wanita ke tempat yang sepatutnya. Baginda menggambarkan seorang isteri yang solehah sebagai sebaik-baik “harta” di atas dunia yang harus disyukuri oleh seorang lelaki. Baginda juga memuji lelaki yang berlaku baik kepada isterinya dengan sabda berikut:-

“Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya”. (Hadith riwayat Ibn Majah, 9:2053)

Dalam Khutbah Hari Arafah pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Arafah, yang juga merupakan khutbah terakhir Baginda Rasulullah SAW, pesanan yang dititipkan kepada umat Islam juga berkaitan dengan wanita. Rasulullah s.a.w. bersabda:-

“Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.”

Maka adalah terlalu jelas bahawa Islam mengangkat tinggi kedudukan wanita, dan tidak sekali-kali mendiskriminasi atau mengecilkan peranan wanita.

Fahaman-fahaman melabel Islam sebagai patriarki sebegini bukan sahaja sesat dan songsang dari segi nas dan dalil, bahkan cacat dan tempang dari segi logik akal

Namun begitu, di sebalik pemahaman yang jelas berdasarkan nas dan amalan baginda Rasulullah SAW tersebut, masih terdapat golongan yang mendakwa ajaran Islam sebagai ajaran patriarki. Mereka menuduh ajaran Islam mengagungkan lelaki lebih daripada wanita seperti ketidaksamarataan hak pewarisan antara lelaki dan wanita, aurat yang berbeza dan sebagainya. Sehinggakan ada di antara mereka yang
tidak menerima kedudukan lelaki sebagai “imam” lantas, mahu meng”imam”kan solat bersama suami mereka.

Fahaman-fahaman melabel Islam sebagai patriarki sebegini bukan sahaja sesat dan songsang dari segi nas dan dalil, bahkan cacat dan tempang dari segi logik akal. Sementelah wanita dijadikan dengan ciri lemah lembut dan bersuara lunak, dan lelaki dijadikan dengan ciri perkasa dan bersuara besar, maka tentunya pembahagian tugas dan tanggungjawab itu secocok ciri yang Allah jadikan. Pun begitu, dari segi kedudukan di sisi Tuhan, dan peluang untuk menempa kejayaan dunia atau akhirat, lelaki dan wanita adalah sama.

Kesesatan dan kecacatan fikrah tersebut mungkin didasarkan kepada keengganan mereka untuk mengkaji dengan mendalam dalil dan pedoman ulama’, atau pun mereka sekadar “bodoh sombong” untuk mengaku tidak tahu. Maka tuduhan “Islam agama Patriarki” adalah seburuk-buruk tuduhan kerana ia jauh daripada hakikat sebenar bahawa Islamlah yang menjulang wanita ke tempat sepatutnya. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -