Selesaikan isu Maybank tidak bayar bonus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) diminta menyelesaikan isu melibatkan Maybank yang dikatakan tidak mahu membayar emolumen bonus sebulan gaji setiap kali perayaan kepada pekerjanya, demikian gesa Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).

Menurut beliau, perjanjian secara kolektif antara Nasional Union Bank Employee (NUBE) dan Malayan Commercial Bank’s Association (MCBA) telah dipersetujui, tetapi dinafikan MCBA yang mana dalam perjanjian itu Maybank turut terlibat persetujuan tersebut.

- Advertisement -

“Begitu juga perjanjian antara Maybank dengan Kesatuan Sekerja di Indonesia, perkara yang sama telah dilakukan tetapi di Indonesia, Maybank telah membayar sepertimana collective agreement yang dipersetujui di antara MCBA dan NUBE ini sepertimana di Malaysia ini. Tapi di Malaysia dinafikan haknya,” ujar beliau.

Awang menambah, beliau membangkitkan perkara ini disebabkan keyakinan negara luar untuk melabur di Malaysia ini sangat penting apabila mempunyai kesatuan sekerja yang stabil dan mengikut perjanjian kolektif dipatuhi.

“Di bawah KSM juga ada Jabatan Pembangunan Perusahaan yang mana kesatuan-kesatuan sekerja akan mendaftar di bawah ini dan di bawah KSM juga ada Mahkamah Perusahaan yang menyelesaikan pertikaian-pertikaian,” ujar beliau meminta diselesaikan masalah ini.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Menteri Sumber Manusia semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-Menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di sini sebentar tadi.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, bahawa sebenarnya dalam isu NUBE dan MCBA telah mempunyai collective agreement bersama dengan pihak majikan.

“Dan untuk saya pendirian saya ialah majikan harus menjaga kebajikan pekerja dan dalam aspek ini dalam kes ini Jabatan Perhubungan Perusahaan sebenarnya telah pun memanggil Reconciliation Meeting (mesyuarat perdamaian) yang sebenarnya mesyuarat pertama 19 Februari tetapi ditangguhkan.

“Dan mesyuarat seterusnya akan diadakan pada minggu depan. Jadi saya berharap isu pertikaian antara NUBE dengan juga MCBA ini dapat diselesaikan secara berhemah dengan mengangkat martabat pekerja dalam mesyuarat itu nanti,” jawab beliau. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -