Akaun Fleksibel KWSP tiada tuntutan bersasar?

PGRIM menyenaraikan beberapa persoalan tentang Akaun Fleksibel KWSP yang direka khusus bual bakal pencarum yang lahir pada tahun 2010 dan ke atas. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGRIM) berasa terpanggil bagi meraih jawapan tuntas berkenaan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia adalah susulan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Tun Hamzah dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyatakan bahawa Akaun Fleksibel dilancarkan tidak akan ada tuntutan bersasar.

Presiden PGRIM, Azmi Mohd Tahir berkata, merujuk kepada kenyataan Ketua Pegawai Strategi (CSO) KWSP, Nurhisham Hussein bahawa satu teori dan kajian terperinci berkenaan Akaun Fleksibel dijangkakan akan dilancar pada bulan April 2024. 

“Akaun Fleksibel ini direka khusus buat bakal pencarum yang lahir pada tahun 2010 dan ke atas. Secara teorinya lebih menitikberatkan kepada rakyat untuk menyimpan dan hanya direalisasikan selepas dua tahun ia dilancarkan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau menyenaraikan beberapa persoalan mengenai benarkah Akaun Fleksibel hanya terpakai kepada bakal pencarum yang lahir pada tahun 2010 dan ke atas seperti berikut:

“Pertama, adakah bakal pencarum tersebut sudah boleh mendaftar sebagai Ahli KWSP seawal usia 14 tahun?

“Kedua, adakah potongan Caruman Pencarum kepada KWSP secara automatik akan diambil sama ada 3 peratus (%) atau 5% yang masih dalam perincian KWSP, yang belum ditetapkan dan masuk ke dalam akaun fleksibel setiap bulan; dan hanya boleh dikeluarkan tanpa syarat selepas dua tahun menyimpan bila-bila masa yang diperlukan?.

“Atau dalam erti kata lain, pencarum perlu menyimpan dahulu sehingga mencapai satu jumlah minima yang akan ditetapkan oleh pihak KWSP?” tambahnya.

Sementara persoalan seterusnya adalah mengenai KWSP yang tidak berhasrat sama sekali untuk mengambil beberapa peratus jumlah simpanan daripada Akaun 1, Akaun 2 atau agihan Dividen yang baru sahaja diumumkan masuk ke dalam Akaun Fleksibel seperti apa yang diandaikan oleh pencarum-pencarum di luar sana yang membuat spekulasi dan persepsi.

“Persoalan keempat adalah mengenai pencarum yang aktif dan sedia ada pula akan diberi pilihan sama ada mahu memotong caruman mereka 3% atau 5% (masih dalam perincian KWSP yang belum ditetapkan) masuk ke dalam Akaun Fleksibel bagi tujuan menyimpan untuk kegunaan kecemasan di masa depan.

Persoalan beliau yang seterusnya adalah tentang pencarum yang sudah lama tidak mencarum dan rakyat yang bukan ahli KWSP disarankan untuk membuka Akaun Fleksibel bagi tujuan menyimpan secara sukarela tanpa paksaan kerana merujuk kepada kenyataan BNM bahawasanya rata-rata rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan lebih RM1,000.

Soalan terakhir Azmi mengetengahkan tentang rakyat dan pencarum yang membuka Akaun Fleksibel yang menyimpan juga akan menikmati Dividen Tahunan yang mungkin kurang sedikit daripada Dividen Akaun Asas 1 dan Akaun Asas 2.

“Persoalan saya ialah dari manakah sumber wang yang akan dimasukkan ke dalam Akaun Fleksibel?” tegas beliau.

“Pencarum yang tercicir dan terdesak seramai 99,335 ahli di luar sana amat tertekan dengan keadaan kos sara hidup tinggi dan pendapatan tidak seimbang mendesak supaya pihak kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP bersasar dengan kadar segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2024

- Advertisement -