Qana’ah: Berasa cukup dengan pemberian Allah SWT

- Advertisement -

ANTARA asas utama kebahagiaan seseorang adalah memiliki sifat qana’ah, iaitu sikap menerima dan reda dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya tanpa membandingkannya dengan apa yang diberikan kepada orang lain.

- Advertisement -

Allah SWT berfirman:

مَنۡ عَمِلَ صَٰلِحٗا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنٞ فَلَنُحۡيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةٗ طَيِّبَةٗۖ وَلَنَجۡزِيَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ٩٧
“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
(QS. An-Nahl: 97)

Kebanyakan ahli tafsir menyatakan bahawa ganjaran kehidupan yang baik yang dimaksudkan pada ayat di atas ialah sifat qana’ah, seperti yang diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu, Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, Al-Hasan Al-Basri, Wahb bin Munabbih, dan Zaid bin Wahb rahimahumullah. (Tafsir al-Qurthubi (10/174)

Al-Hasan Al-Basri rahimahullah berkata mengenai firman Allah tersebut,

“Seseorang itu akan dianugerahkan sifat qana’ah, yang dengannya hatinya akan merasai kenikmatan.” (Tarikh Dimasyq Li Ibn ‘Asakir (34/323)

Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Ibnu Jarir At-Tabari, bahawa yang dimaksudkan dengan ganjaran kehidupan yang baik adalah sifat qana’ah.

Kehidupan umat Islam itu adalah berbeza-beza, ada yang diberi harta yang banyak, ada yang diberi sedikit, dan ada yang sederhana. Namun, apabila seseorang itu mempunyai sifat qana’ah iaitu merasa berkecukupan, maka dia akan merasakan kebahagiaan.

Oleh itu, jangan beranggapan bahawa ukuran kehidupan yang baik dan kebahagiaan adalah dengan memiliki banyak harta, kerana kekayaan tidak menjamin kebahagiaan. Inilah sebabnya Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
“Kekayaan bukanlah disebabkan oleh banyaknya harta, tetapi hakikat kekayaan itu adalah kekayaan hati (qana’ah).”
(HR al-Bukhari no. 6446)

Apabila seseorang telah mencapai sifat qana’ah, maka dia akan merasai kebahagiaan, kerana dia akan sentiasa merasa puas dan cukup dengan segala yang Allah SWT anugerahkan kepadanya, baik banyak ataupun sedikit.

Sebaliknya, jika sifat qana’ah tidak ada dalam hati seseorang, dia akan merasakan hidup dalam kesengsaraan, kerana dia tidak akan pernah merasa cukup, walaupun Allah SWT telah memberikan banyak kenikmatan kepadanya.

Lihatlah orang-orang kaya yang tidak memiliki sifat qana’ah. Mereka hidup dalam kesengsaraan dan kebimbangan. Walaupun terdapat hidangan mewah di hadapan mereka, tempat tidur yang selesa, mereka berasa kesulitan untuk menikmati makanan tersebut serta menghadapi kesukaran untuk tidur. Ini disebabkan fikiran mereka hanya tertumpu kepada dunia seperti masalah dalam perniagaan, tempat kerja dan lain-lain.

Bahkan, kadang-kadang orang kaya, ketika kita berjumpa dengan mereka, yang mereka bicarakan hanyalah kesulitan-kesulitan dalam mengurus perniagaan dan harta mereka, seolah-olah dari cerita mereka, kita akan mengira bahawa mereka sangat menderita dalam mengurus segalanya, padahal sebenarnya mereka adalah orang kaya.

Sebaliknya, terdapat individu yang hidup dalam lingkungan sederhana, tinggal di kawasan sederhana, memiliki kenderaan sederhana atau tidak sama sekali. Bagaimanapun, apabila ditanya tentang bagaimana kehidupannya, jawapannya sentiasa adalah “Alhamdulillah”. Mereka bersyukur atas nikmat-nikmat Allah walaupun kita tahu keadaan mereka sukar. Kita tahu bahawa mereka perlu berjuang untuk memenuhi keperluan harian mereka, tetapi mereka nampaknya tidak mempunyai beban.

Inilah contoh seseorang yang memiliki sifat qana’ah, mereka mudah meraih kebahagiaan kerana jiwa mereka telah merasa kecukupan.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ
“Sungguh beruntunglah orang yang memeluk Islam dan diberi rezeki yang cukup, serta memiliki sifat qana’ah terhadap apa yang diberikan Allah.”
(HR Muslim no. 1054)

Barang siapa memiliki sifat qana’ah, dia akan mendapat beberapa kenikmatan, iaitu:
1. Dia akan merasa bahagia, kerana sentiasa bersyukur atas segala pemberian Allah SWT kepadanya.
2. Dia tidak akan ada perasaan dengki terhadap orang lain yang mendapat nikmat, malah dia akan mendoakan keberkatan kepada orang tersebut.
3. Dia akan reda dengan apa yang Allah SWT berikan kepadanya dan kepada orang lain.

Tiga kenikmatan ini hanya dapat diperolehi seseorang apabila memiliki sifat qana’ah. Namun, syarat utama untuk memiliki sifat qana’ah tersebut hendaklah seseorang itu beriman kepada Allah SWT. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -