Sewa tanah kepada warganegara asing diambil tindakan

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kanun Tanah Negara (KTN) selaku undang-undang utama dalam pentadbiran tanah telah pun menyediakan mekanisme sekatan-sekatan berkenaan dengan bukan warganegara dan syarikat asing.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, sebagai contoh, Bahagian 33A, KTN memperuntukkan kuasa kepada pihak berkuasa negeri bagi mengawal pemilikan asing atau pajakan tanah kepada bukan warganegara di bawah semua kategori termasuk pertanian.

“Dalam hal ini, tindakan boleh diambil oleh pihak pentadbiran tanah negeri ke atas pemilik tanah yang memajakkan atau menyewakan tanah miliknya kepada warganegara asing tanpa kelulusan yang sah daripada pihak berkuasa negeri,” ujar kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) di Dewan Rakyat, semalam.

Bakri dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam menyatakan apakah tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah yang berleluasa di mana orang asing terutamanya rakyat Bangladesh yang memajak dan mengusahakan kebun-kebun sayur dan kurangnya galakan keterlibatan anak tempatan dalam industri agromakanan ini.

Menurut kemeterian itu lai, bagi menggalakkan keterlibatan anak tempatan dalam bidang pertanian, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyediakan pelbagai insentif seperti Program Agropreneur Muda yang menawarkan bantuan geran dalam bentuk barangan sehingga RM20,000, khidmat nasihat serta latihan teknikal.

Selain itu, ujarnya Program Agropreneur Muda Siswazah yang dilaksanakan secara strategik dengan pihak Agrobank dan universiti-universiti tempatan bagi membolehkan para belia daripada kalangan siswazah dilatih berkaitan teknik, teknologi dan pemasaran pertanian. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -