Parti Gerindra bakal calonkan menantu Jokowi ketua wilayah

Erina Gudono di samping suaminya, Kaesang Pangarep. (FOTO: Suara.com)
- Advertisement -

SLEMAN, Yogyakarta: Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) bakal mencalonkan Erina Gudono, menantu Presiden Indonesia, Joko Widodo (atau Jokowi), dalam pemilihan Bupati (ketua wilayah) di Sleman, wilayah Yogyakarta.

Anak jati Sleman, Erina 27, merupakan isteri Kaesang Pangarep, anak bongsu Jokowi selepas kedua-duanya melangsungkan perkahwinan pada Disember 2022, lapor akhbar Inggeris Indonesia, Jakarta Globe.

Ketua bahagian tempatan Gerindra, Sukaptana dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengutamakan anak jati Sleman ketika dalam proses saringan kakitangan.

- Advertisement -

“Kami sedang mempertimbangkan Erina dalam usaha mencari pemimpin muda untuk diperkenalkan kepada masyarakat setempat (Sleman) melalui Gerindra, menjelang pilihan raya bagi memilih bupati (ketua) wilayah itu,” katanya sambil mengakui beliau bagaimanapun belum berhubung secara langsung dengan Erina mengenai perancangan itu.

Jika menjadi realiti, pencalonan Erina akan menandakan kerjasama politik kedua antara Gerindra dan keluarga presiden, selepas kerjasama Pengerusi Gerindra, Prabowo Subianto dengan sulung Presiden Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, yang dijangka memenangi Pilihan Raya Presiden yang akan berlangsung pada 14 Februari dengan undian sekitar 58 peratus.

Populariti Prabowo semakin melonjak sejak beliau memilih Gibran sebagai gandingannya pada pertengahan Oktober 2023 dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Gerindra kini memegang enam kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sleman dan perlu mewujudkan gabungan dengan ahli lain untuk memenuhi ambang 10 kerusi yang diperlukan untuk menamakan calon ketua wilayah.

Jika Erina menyertai Gerindra (selepas Gibran Rakabuming), ia  sekali gus menimbulkan spekulasi Jokowi cuba mewujudkan dinasti politik.

Dunia politik bukan asing bagi keluarga Jokowi kerana suami Erina, Kaesang juga telah memulakan kerjaya politiknya pada 2023 apabila beliau menyertai Parti Solidariti Indonesia (PSI) dan tidak lama kemudian dilantik sebagai pengerusi.

Sementara, anak perempuan Jokowi, Kahiyang Ayu mengahwini ahli perniagaan, Bobby Nasution yang kemudiannya dipilih sebagai Datuk Bandar Medan. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -