Bazar Ramadan: KUSKOP tiada peruntukan khusus kepada penjaja

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tidak mempunyai peruntukan khusus kepada golongan penjaja dan peniaga kecil untuk pengoperasian bazar Ramadan pada tahun ini.

- Advertisement -

Namun begitu, katanya KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya ada menyediakan skim-skim pembiayaan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil yang juga terbuka kepada mereka yang menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan dan jualan untuk persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut KUSKOP, antaranya Skim Pembiayaan Teman TEKUN dan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) oleh TEKUN Nasional, Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Iktihiar Malaysia (AIM) kepada Sahabat Usahawan AIM merangkumi penjaja dan peniaga kecil serta Skim Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK) di bawah Bank Rakyat.

KUSKOP menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, semalam.

Abdul Latiff dalam soalannya meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan apakah inisiatif khusus kerajaan bagi membantu golongan peniaga kecil dalam pengoperasian bazar Ramadan sekali gus memacu sektor ekonomi.

Selain itu, KUSKOP juga mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya dalam menganjurkan Program Jualan MADANI Raya KUSKOP (PJMR) 2024 melalui Festival Ramadan Putrajaya berlangsung di Dataran Anjung Syawal, Presint 3 mulai 8 Mac hingga 9 April. Melalui program itu, KUSKOP menyediakan insentif harga jualan barangan bagi membolehkan produk keperluan hari raya yang dijual dapat ditawarkan pada harga diskaun sehingga 20 peratus. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -