
KUALA LUMPUR: Kepentingan membina sifat takwa dalam diri setiap individu Islam, bukan sahaja ketika sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga dalam kehidupan seharian.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, takwa bermaksud ‘benar-benar beramal dengan rasa takut kepada Allah SWT’, yang mana seseorang individu mempunyai kesedaran bahawa Allah SWT Maha Melihat segala perkara yang dilakukan.
Menurut beliau, sifat takwa kepada Allah SWT itu sendiri merupakan satu integriti yang amat bernilai kerana sifat tersebut menjadikan seseorang itu dapat menjaga keimanannya dengan lebih baik.
“Oleh sebab itu, integriti yang paling baik sekali ialah iman dan takwa dan sekalipun, seseorang yang integriti tak ada iman dan takwa maka dia takut dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan pihak berkuasa.
“Namun, apabila seseorang yang berintegriti mempunyai iman dan takwa, maka walaupun diberikan apa jua peluang untuk berbuat jahat yang mana katalah SPRM tak tahu, dan pihak pun berkuasa tidak tahu, dia tetap takkan buat (jahat) kerana Allah SWT tahu,” katanya.
Tambah beliau, amalan berpuasa itu sendiri juga perlu berasaskan takwa kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui sama ada seseorang itu berpuasa atau sebaliknya walaupun tidak diketahui oleh orang lain sekalipun.
Kata beliau, seseorang yang mendakwa dirinya mempunyai integriti tetapi tidak ada iman, adalah jelas merupakan satu pembohongan yang mana perkara tersebut boleh dilihat pada hari ini.
“Bila cakap integriti tak ada iman bohong sahaja dan itu yang berlaku pada hari ini, yang mana kadang-kadang timbul soal integriti perlu ada kuasa tetapi setelah dapat kuasa lain pula tindakannya.
“Sebab itu, bila ada integriti maka tidak kisah sama ada dia berkuasa ataupun sebaliknya tetap sama iaitu perasaan takut kita kepada Allah SWT itu sendiri,” kongsi Idris.
Beliau berkata demikian ketika dalam Tazkirah Zohor Ramadhan berjudul, Dari Ramadan ke Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang diadakan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS.
Beliau berpesan kepada seluruh umat Islam untuk sentiasa menjaga ibadah, lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan yang penuh dengan berkat-Nya termasuklah berusaha untuk sentiasa mengamalkan solat Tarawih.
Ini kerana tambah beliau, walaupun hukumnya sunat tetapi solat tarawih hanya ada pada bulan Ramadan sahaja, yang mana seseorang tidak boleh menjamin sama ada dia akan bertemu lagi dengan bulan Ramadan yang seterusnya.
“Kita pun tidak tahu sama ada akan bertemu lagi dengan bulan Ramadan pada masa yang akan datang, maka sebaik-baiknya kita beramal betul-betul beramal pada bulan suci ini untuk memperbanyakkan lagi amalan kita kepada-Nya termasuklah tidak meninggalkan solat tarawih,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!