90,000 tan makanan ‘ke tong sampah’ Ramadan lalu

Mohideen Abdul Kader
- Advertisement -

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai agar tidak membazirkan makanan sempena kehadiran Ramadan kerana banyak makanan akan berakhir di tapak pelupusan sampah.

- Advertisement -

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata di bulan lain.

Katanya, telah dilaporkan pada 2023 sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara sepanjang Ramadan.

Tambahnya, Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.

“Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros.

“Berlawanan dengan ajaran ini, sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan untuk melakukan kewajipan solat mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, kerakusan atau bersikap kelahapan juga boleh memberikan kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari, dan tekanan darah tinggi bagi mereka yang memuaskan hati dengan menurut hawa nafsu.

Menurutnya lagi, iftar, berbuka puasa, yang secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian telah bertukar kepada ‘pesta makan dengan 100 jenis hidangan’ di hotel dan restoran.

Katanya, ia telah bertukar menjadi sumber keuntungan bagi perniagaan.

Beliau menambah, membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.

“Ia juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai dan melepaskan karbon dioksida yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global,” katanya.

Tambahnya, salah satu tujuan berpuasa ialah untuk merasakan kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir agar kita mempunyai sikap empati kepada mereka.

“Kini lebih 2 juta rakayat Palestin menghadapi kebuluran jadi kita tidak sepatutnya membuang begitu banyak makanan pada bulan yang suci ini,” ujarnya.

Belaiu berkata, golongan kaya seharusnya berkongsi kekayaan mereka dengan mereka yang miskin dan memerlukan bukannya bersikap rakus dan bermegah-megah dalam cara hidup.

Katanya, gunakan kekayaan anda untuk membantu golongan miskin dan terpinggir keluar daripada kemiskinan dan penindasan dan menyokong program-program amal jariah.

“Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dan mengayakan lagi kerohanian,” tambahnya.

Katanya lagi, elakkan daripada berbuka puasa di hotel dan sebagai ganti berbuka puasa di rumah dan masjid dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Jemputlah jiran bukan Islam anda untuk berbuka puasa bersama. Dengan cara ini kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -