Bekas pekerja Boeing lantang kritik kualiti ditemui mati

John Barnett sebelum ini mendakwa Boeing terlampau tergesa-gesa dalam menyiapkan produksi kapal, tanpa mengutamakan kualiti dan keselamatan. (FOTO: Times Now)
- Advertisement -

SOUTH CAROLINA: Seorang bekas pekerja syarikat industri perkapalan Boeing yang lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kualiti pengeluaran syarikat tersebut telah ditemui mati.

John Barnett, 62, ditemui mati di dalam traknya di tempat letak kereta sebuah hotel, di sini, namun tiada butiran lanjut tersedia buat masa ini, lapor BBC.

Boeing dalam kenyataannya menyatakan rasa simpati dan berduka cita terhadap kematian Barnett dan siasatan terhadap insiden berkenaan sedang dijalankan oleh Jabatan Polis Bandar Charleston 

- Advertisement -

Barnett yang telah bekerja selama 32 tahun pernah memegang jawatan sebagai pengurus kualiti bagi kapal terbang 787 Dreamliner yang banyak digunakan oleh syarikat penerbangan global, sebelum bersara pada 2017.

Beliau telah memfailkan tuntutan pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ terhadap Boeing yang dikatakan ingin membalas dendam terhadap tindakannya yang sering melaporkan kerosakan terhadap produksi perkapalan syarikat itu. 

Amaran pertama pernah diberikan oleh beliau pada 2019, yang mana beliau mendakwa Boeing terlampau tergesa-gesa dalam menyiapkan produksi kapal, tanpa mengutamakan kualiti dan keselamatan. 

“Sistem oksigen kecemasan yang dibuat untuk pesawat 787 Dreamliner mempunyai kadar kegagalan sebanyak 25 peratus yang dibuat secara sengaja,” dakwa Barnett pada 2019.

“Ini bermakna satu perempat daripada jenis pesawat tersebut berpotensi kehilangan kadar oksigen dengan cepat jika bahagian dalaman (kabin) kapal terbang tiba-tiba mengalami penurunan dan menyesakkan penumpang,” tambahnya. 

Kenyataan itu dikeluarkannya selepas berlaku dua tragedi pesawat 737 MAX pada tahun 2018 dan 2019 yang meragut sebanyak 350 nyawa. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -